Hakikat Uhibbik Fillah  

Posted by Ahlia 'Ammar

“ Jam tangan ana hilang. Ada sesiapa ternampak tak?” Nurul bertanya kepada housemates nya yang sedang berbual‐bual di ruang tamu. Nurul kelam kabut, kelasnya akan bermula sepuluh minit dari sekarng, tetapi jam tangannya pula hilang.

“ Tak ada lah pulak,” Shahira membalas ringkas sebelum menyambung semula ceritanya.

“ Dalam bilik air dah tengok?” Giliran Ain pula bersuara.

“ Takde, tengok dah. Takpelah,” Nurul meninggalkan enam orang teman‐temannya. Mereka lantas meneruskan perbualan sementara Nurul berlalu ke bilik untuk meneruskan pencariannya. Sendirian, sedangkan baru semalam mereka menghadiahinya kad ucapan ulangtahun kelahiran yang ke‐20, dan tersemat di dalamnya “uhibbik fillah ya ukhti Nurul”.

Situasi sebegini pernah berlaku ratusan tahun dahulu, dalam sebuah peperangan menentang musuh Islam. Tatkala itu seorang tentera berkuda Islam kehilangan bekas minuman di pingir pantai.

“Anta cari apa?” Seorang sahabat bertanya apabila menyedari saudaranya turun dari kuda dan terbongkok‐bongkok mencari sesuatu.

“Bekas minuman ana hilang,” Sepantas kilat sahabat tadi turut serta turun dari kudanya. Dia juga terbongkok‐bongkok mencarinya di celah‐celah kesibukan tentera berkuda itu.

“Mereka cari apa tu?”

“A’ah, mereka cari apa ya?”

Hingga akhirnya seluruh tentera berkuda turun mencari sebekas minuman sahaja. Akhirnya keganjilan ini disedari pula oleh sang panglima tentera. Maka sebelum dia juga membantu mencarinya, dia mengarahkan seluruh tentera Islam untuk turun mencarinya. Perisik musuh yang mengintip terkejut dengan syakhsiah yang ditonjolkan oleh tentera Muslimin. Yang hilang cuma sebekas minuman yang tidak mustahil boleh diganti dan nilainya tidaklah seberapa.

“Kalau hanya sebekas minuman sahabat mereka hilang seluruh tentera Islam mencarinya, apatah lagi seandainya seorang dari mereka hilang, tentu habis kita dikerjakan selumat‐lumatnya.” Peristiwa ini mengecutkan kaki musuh dan akhirnya tentera Islam mencapai kemenangan. Beginilah signifikasinya ukhuwwah Islamiyyah; menggugurkan kekuatan musuh dan menyuburkan kemenangan ummah. Inilah juga resipi perjuangan jihad Rasulullah. Tiada kalimah jihad selagi mana tidak hadirnya iman, kerana dari iman tumbuhnya ukhuwwah, maka dari ukhuwwah wujudlah kesatuan dan kerjasama. Selepas selesai masalah iman, aqidah dan ukhuwwah barulah seruan jihad di Badar dilaungkan.

"Tidak beriman salah seorang dari kalian sehingga mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri." (HR. Bukhari)

Ukhuwwah adalah barometer pengukur pasang surutnya keimanan. Semakin teguh ikatan persaudaraan fillah, semakin hampirlah untuk menjadi mukmin sejati (mu'minul al haq). Maka sudah tentunya figur manusia yang berukhuwwah adalah figur insan yang hidupnya basah dengan limpahan iman. Mereka memburu satu cita yang satu yakni mengejar redha Allah dan berlumba‐lumba dalam kebaikan.Mereka menjadi kelompok manusia yang bersatu dalam kepedihan, kepenatan, keresahan, kegembiraan, kejayaan dan bersama‐sama merasai derita ummat.

Sunnah Rasul saw telah mengilhamkan rangkaian petunjuk kekuatan ukhuwwah. Ukhuwwah yang dikatakan fillah ialah....

1. Sejauh mana kadar takwa dan kebaikan yang kita lihat dari saudara kita, sejauh itulah tulusnya cinta dan persahabatan yang kita berikan padanya. Sejauh mana tingkat zikir, ibadah, peringatan akan akhirat dan perhatian terhadap ketaatan kepada Allah yang memenuhi nuansa persahabatan dan pertemanan, sejauh itulah eratnya persabatan dan jalinan cinta yang terjalin di antara keduanya. Namun jika hubungan persahabatan kering dari makna‐makna zikir, ibadah, saling menasihati dan saling mengingatkan perihal akhirat maka kegersangan ukhuwah akan semakin terasa, lalu beralih menjadi permainan (lagha) dan perdebatan sia‐sia. Hati bertambah keras dan cepat bosan, sementara lagha (perkataan dan perbuatan sia‐sia) membuka gerbang kerosakan dan perselisihan, akhirnya terjelmalah dosa sebagai dinding pemisah yang memburaikan ikatan ukhuwah dan memisahkan dua sahabat. Sesungguhnya kelebihan hubungan ukhuwah kerana yang terlibat di dalamnya senntiasa mengingatkan masalah‐masalah akhirat, seperti yang dinyatakan oleh al‐Hasan rahimahullah: "Sahabat lebih kami cintai daripada keluarga sendiri, kerana sahabat mengingatkan kita akan akhirat, sedang keluarga mengingatkan kita akan dunia."

2. Perasaan adalah bahagian dari cinta. Kita mengetahui bahawa hati memiliki perasaan‐perasaan tertentu yang menjadi elemen terpenting bagi cinta. Perasaan yang dapat menjadikan seseorang selalu merindukan sahabat terkasihnya, ingin bertemu, mendengar kata‐katanya, dan membuat akrab serta bahagia kerana pertemuan dengannya, sehingga muncul wajah ceria yang dihiasi oleh senyuman dan mencerminkan kebahagiaan. Dalam satu riwayat dinyatakan bahawa suatu saat datang kepada Rasulullah shallallahu'alaihi wa sallam seseorang dengan wajah mrung dirundung duka, maka Rasullullah shallallahu 'alaihi wa sallam bertanya: "Wahai Fulan, apa yang membuatmu sedih?" Ia menjawab: "Wahai baginda Nabi, aku sedih kerana memikirkan sesuatu." Rasullullah bertanya lagi: Apakah gerangan?"

Ia menjawab: "Selama ini kami datang dan pergi menemuimu, menatap wajahmu dan berkumpul denganmu. Namun nanti di alam akhirat engkau berada pada kedudukan yang lindungi bersama para Nabi, kami tidak sanggup mencapai darjat itu. "Sejenak Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam diam, sehingga datang Jibril dan mewahyukan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala kepadanya: "Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul‐(Nya), mereka itu akan bersama‐sama dengan orang‐orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu para Nabi, para shiddiqin, orang‐orang yang mati syahid, dan orang‐orang soleh. Dan mereka itulah teman yang paling baik" (An‐Nisa' :69)

Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam menyampaikan khabar gembira itu kepada sahabat yang bertanya tersebut. Cuba renungkan, apa yang mengusik hati sahabat tersebut, padahal ia telah masuk syurga dan merasakan kenikmatannya? Dia ingin berjumpa kembali dengan Rasullullah shallallahu'alaihi wa sallam. Sesungguhnya inilah kasih yang agung dan perasaan tulus yang begitu menggelora. Suatu perasaan yang tidak hanya menjadikan para sahabat merindukan peribadi Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam, melainkan kerinduan terhadap sesama mereka. Perasaan yang membuat peribadi agung seperti Umar bin Khattab tidak mampu memejamkan mata kerana teringat dan merindukan sahabtnya. Ia hitung detik jarum waktu (malam) menuju Subuh, sehingga ketika sang suria menjelang, ia segera beranjak menemuinya...

3. Perasaan tulus akan membuat seseorang sanggup mengutamakan kepentingan sahabat dari kepentingannya sendiri, sekalipun harus mempertaruhkan nyawanya. Ia mengkhuawatirkan sahabatnya lebih dari kekhuawatiran terhadap diri‐nya sendiri. Dia juga bersimpati atas semua musibah dan penderitaan yang dialami sahabatnya. Seorang Mukmin yang tulus cintanya, sanggup dan rela mengorbankan hartanya demi membantu meringankan beban saudaranya. Bahkan ketulusan cintanya dapat mendorongnya untuk mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan sahabatnya. Contoh‐contoh yang menggambarkan ketulusan seperti ini sangat banyak dan terkenal, terutama dalam kehidupan para sahabat Nabi yang mulia, juga generasi salaf yang soleh.

Salah satunya adalah peristiwa pertemuan monumental antara golongan Muhajirin dan Anshar, yang tidak memiliki hubungan keturunan, melainkan hubungan aqidah dan ukhuwah iman. Golongan Anshar sebagai penduduk kota Madinah, menumpahkan ketulusan cinta dan ukhuwah, mereka berlumba‐lumba menawarkan tempat tinggal untuk membantu kaum Muhajirin dan memberi harta benda yang mereka miliki. Bahkan di antara kalangan Anshar ada yang sanggup menceraikan salah seorang isterinya agar saudaranya dari kalangan Muhajirin apat mendirikan rumah tangga. Al‐Waqidi (sejarawan Muslim klasik) mencatat bahawa ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi salam berpindah dari perkampungan Bani 'Amr bin 'Auf di Quba' menuju Madinah, sahabat‐sahabatnya dari kalangan Muhajirin pun ikut serta pindah. Maka ketika melihat kedatangan mereka, kaum Anshar berebut menawarkan tempat tinggal untuk mereka, sehingga untuk mendapatkan seorang Muhajir, mereka perlu membuat undian dengan menggunakan anak panah. Pada akhirnya, tidak satu pun di antara kalangan Muhajirin yang memilih tempat tinggal kecuali melalui proses undian tersebut.

Perasaan yang tulus akan mendorong seseorang untuk mendoakan sahabatnya ketika berpisah dan menyebut namanya dalam waktu‐waktu terkabulnya doa. Sebagai contoh, Imam Ahmad pernah mendoakan beberapa sahabatnya di keheningan sepertiga malam terakhir dengan menyebut nama‐nama mereka. Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam pun menganjurkan agar kita melakukannya.

Saban hari, kita sudah terlalu sering mendengar kalimat `Uhibbik fillah’. Tiga misal di atas adalah warisan rentetan perjalanan sejarah kaum Muslimin. Kita bagaimana? Dulu....mereka tiada kemudahan handphone untuk mengkhabarkan uhibbik fillah kepada teman rapat mereka. Realiti hari ini pula adalah sebaliknya, paling kurang setiap bulan kita selalu menerima SMS dari teman di kejauhan menyatakan kasih mereka kepada kita, tetapi sejauh mana kita menunaikan hak ukhuwwah yang tertanggung di atas bahu kita? Duduk dan berfikirlah, tepuk dada tanya iman.....Wallahua’lam.

This entry was posted at Tuesday, December 22, 2009 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 nasihat dari sahabat

Post a Comment

Semangat Palestina yang takkan pernah padam!

Followers

ღ halawatul iman ღ