Ibu Segala Doa, Penawar Segala Masalah  

Posted by Ahlia 'Ammar


Maksud Ayat

“ Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan ( hari Akhirat ). Engkaulah sahaja ( Ya Allah ) yang kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan ( jalan ) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula ( jalan ) orang-orang yang sesat.”

Keterangan Ayat

Surah Al-Fatihah merupakan surah yang istimewa diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah diturunkan kepada nabi-nabi  sebelumnya. ( HR Muslim )

Ia mempunyai beberapa nama. Antara yang masyhur adalah al-Fatihah yang bermaksud pembukaan kerana ia merupakan surah yang pertama dalam susunan surah-surah al-Quran dan pertama dibaca dalam solat. ( Tafsir al-Tabari, Tafsir al-Mawardi dan tafsir surah al-Fatihah )

Ia juga dipanggil ‘Ummul Kitab’  yang bermaksud Induk al-Quran kerana kandungannya menghimpunkan maqasid al-Quran iaitu pujian kepada Allah yang menegaskan rububiyyahNYA, menjelaskan kaedah beribadah kepadaNYA dan memohon hidayahNYA, kisah-kisah umat yang terdahulu, gambaran kedudukan hamba-hambaNYA yang bahagia, menderita dan sebagainya. Ia menduduki tempat sebagai ibu kepada semua surah yang lain. Orang-orang Arab menamakan semua perkara yang menghimpunkan perkara yang lain sebagai Ummun. Makkah dipanggil Ummul Qura kerana semua bandar lain bergantung kepadanya. ( Al-Tafsir al-Qayyim, Tafsir Surah al-Fatihah, Rawai’ al-Bayan : Bab al-Fatihah )

Selain itu, surah ini juga dipanggil oleh Allah dalam surah al-Hijr ayat ke-87 sebagai ‘al-Sab’ul Mathani’ yang bermaksud tujuh yang berulang kerana terdiri daripada tujuh ayat dan dibaca berulang-ulang dalam solat. ( Tafsir al-Samarqandi, tafsir surah al-Fatihah, Lisan al-arab, lihat al-Mathani )

Al-Qurtubi menyenaraikan 12 nama bagi surah ini iaitu antaranya al-Syifa’ (penyembuh), al-Wafiah (yang menyempurnakan), al-kafiah (yang mencukupkan), al-Asas (asas), al-Hamd (pujian) dan lain-lain. Beliau mengambil nama-nama itu secara tauqifi daripada Nabi SAW atau melalui ijtihad para sahabat. ( Tafsir al-Qurtubi, tafsir Surah al-Fatihah)

Al-Alusi pula menyebut surah ini memiliki lebih daripada dua puluh nama. ( Ruhul Ma’aani, tafsir Surah al-Fatihah )

Khasiat dan Kaifiat Beramal

Thabit dalam hadith sahih riwayat al-Bukhari mengatakan bahawa surah ini mampu menjadi penawar bagi mengubati bisa sengatan.  Seorang sahabat telah diminta mengubati ketua penduduk yang disengat binatang berbisa. Lalu seorang sahabat telah pun menjampi dengan membacakan surah al-Fatihah. Dengan izin Allah dia telah sembuh. Cara yang dilakukannya ialah dengan membacakan surah al-fatihah dengan mengumpulkan sedikit ludahan. Kemudian ditiupkan dan disertai sedikit ludahan pada bahagian badan yang sakit itu. Malahan disebut dalam Fath al-Bari, semua jenis penyakit boleh disembuhkan dengan membaca surah ini.



Rujukan :  101 Doa Para Nabi dan rasul dalam al-Quran : Khasiat dan Kaifiat beramal, Ust Zahazan Mohamed, Telaga Biru.

This entry was posted at Saturday, October 16, 2010 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 nasihat dari sahabat

Post a Comment

Semangat Palestina yang takkan pernah padam!

Followers

ღ halawatul iman ღ