Memori Penuh Makna  

Posted by Ahlia 'Ammar

Terkadang amat perlu bagi diri untuk memaling wajah mamandang ke suatu masa yang sudah jauh ditinggalkan di belakang. Terkadang amat perlu mengembalikan memori silam seribu satu kenangan sebagai tulang belakang yang menunjang langkah agar tidak terasa songsang di hari ini.
Bila mana jiwa terasa kosong, kembali mengadap Dia. Menadah tangan memohon agar kekosongan itu diisi dengan rasa cinta yang tidak akan pernah kunjung padam tiap detik tiap tika. Kerna yang pasti Dia sentiasa ada. Selangkah kaki menujuNYA, sekencang mungkin Dia berlari kepada kita hamba hina yang sentiasa dimuliakan olehNYA.

Saat terasa gersang ibarat berada di lautan padang pasir tanpa ternampak di kejauhan pintu keluar darinya, dikelilingi debuan pasir mulus bersih tanpa setitis air mahupun sebiji tamar yang mampu menghilangkan kegersangan di jiwa. Betapa ianya suatu penyeksaan yang amat keterlaluan pada sekeping hati yang teramat dahagakan kepada pencerahan.

Tika masa sendirian, hanya wujud Dia yang menemani. Mendengar keluh kesah hati seorang hamba merayu meminta dipermudahkan segala aturan hidupnya. Mustahil diperkenankan melainkan dengan sebenar-benar pengorbanan yang rela dipersembahkan kepadaNYA. Ternyata, pahitnya hidup dunia adalah kemanisan yang tidak terhingga di akhirat sana.

Tika itu, akal mula memancing membawa diri kepada suatu masa yang sudah lama ditinggalkan. Mengembalikan memori silam sekadar menyedapkan hati yang tidak serba kena. Senyum terukir saat ianya seakan memberi suatu semangat dan keazaman yang tinggi untuk terus melangkah walau lelah.


Selak-selak album di rumah tadi tersenyum melihat wajah umi abi saat mudanya. Di hari pernikahan umi abi yang sangat simple, namun jelas terpancar riak ketenangan di atas lancarnya lafaz sakinah ‘Aku Terima Nikahnya’ mengikut aturanNYA. Seketika kemudiannya lahirlah seorang anak yang menjadi harapan umi abi untuk terus kuat berjuang di atas muka bumi ini. Mereka.. sumber kekuatan diri. Disinilah letaknya redha Rabbul ‘Izzati. Kesusahan hidup tidak menjadi penghalang umi dan abi untuk memberikan yang terbaik buat permata hati penyejuk mata tercinta. Pengorbanan mereka teramat besar. Menitik air mata mengenangkan jerih perih keringat mereka membanting tulang mencari rezeki halal buat sang anak. Sayu hati saat melihat butiran hangat kegembiraan mengalir dari kelopak wajah yang mulia itu saat anakmu mempamer kejayaan. Kerna itu, anakmu yang hina ini berjanji..[rahsia] Sekalian alam jadi saksi.

Selak-selak lagi, terjumpa album arwah tok [nenek] sewaktu hari akan berlepas ke Tanah Suci bagi menyahut panggilan Baitullahil Haram. Alhamdulillah sempat juga tok menunaikan rukun Islam yang ke lima itu sebelum menghembuskan nafas yang terakhir beberapa bulan kemudiannya. Masih jelas terngiang suaranya yang lunak mengajar anak-anak kampung mengaji Al-Quran. Berkat asuhan dan didikannya juga diri ini mampu membaca Al-Quran seusia yang masih muda. ‘Teman’ rapatku diwaktu kecil, tempatku bermanja, ‘teman’ yang sentiasa menemaniku di tadika saat diri memprotes tidak mahu ke tadika. Sabar saja tok menunggu di luar kelas sehingga habis. Teringat saat dimarahi oleh umi abi pasti laju berlari ke rumah tok yang hanya bersebelahan rumahku, duduk bersamanya atas sebab merajuk. Mendengar kisah-kisah dongeng, hantu dan pelbagai lagi. Sehingga selepas beberapa hari pemergiannya berlakulah suatu keajaiban yang sangat misteri.. Ya Allah. Rindunya pada arwah tok. Semoga rohnya ditempatkan bersama golongan muttaqin. Aminn ya Rabb..

Saat mata tertancap pada wajah tokwan [datuk] yang kini kian dimamah usia. Semenjak pemergian tok belasan tahun yang lalu, tokwan tinggal bersendirian di rumahnya bersebelahan rumahku. Umi memainkan peranan untuk berulang alik menyiapkan makanan membersihkan halaman di rumah tokwan. Tiap kali pulang ke rumah saat cuti semester bermula, tokwan pasti datang menjengukku. Benarlah kata orang, tokwan atau tok [datuk nenek] lebih sayangkan cucunya berbanding anaknya. Teringat sewaktu kecilku, tokwan amat melarang keras kami cucunya untuk ke jalanraya, bimbang akan keselamatan kami yang masih lagi kanak-kanak yang sangat nakal comel. Namun saat tahap kenakalan itu terlampau tinggi, kami senyap-senyap bermain di jalanraya. Nampak sahaja kelibat tokwan dengan motornya mulalah lari bersembunyi di dalam longkang besar tepi jalan sambil takut-takut. Huhu.. tokwan kini mulai uzur. Semoga Allah panjangkan usia tokwan. Sekiranya perjalanannya di dunia ini sudah tiba ke penghujungnya, tempatkanlah dia di dalam golongan yang Kau cintai.

suatu ketika dulu..sewaktu arwah tok masih ada..
Kenangan lalu mampu mengukir senyum tanpa paksa. Walau diri dihimpit beban yang berat, walau wajah sudah tidak mampu menggerakkan bibir mengukir senyum, walau kaki sudah kaku untuk melangkah mencipta rentak, walau jasad sudah lesu menelusuri sebuah perjalanan kehidupan, walau akal sudah letih memikirkan segala mehnah yang merintang, walau jiwa sudah gersang tiba di persimpangan tujuan, ketahuilah semuanya hanyalah sementara. Palingkan wajah menghadap suatu masa yang sudah jauh ditinggalkan. Ukirlah senyum mengingat kembali suatu waktu yang membentuk diri menjadi seperti hari ini. Lihatlah mereka yang telah membantu memcorak hati, membangunkan seorang insan lemah seperti ini. Perjalanan masih jauh.

Kembara di dunia hanyalah sekadar mengumpul bekalan untuk kehidupan di dunia sana. Saat kaki tersungkur lemah, jemari terluka disakiti duri ranjau, jasad kotor dipenuhi lumpur noda dan dosa, ketahuilah di hujung sana ada Dia yang menanti. Segala pahit hidup dunia akan diganti bahagia di dunia sana. Sesungguhnya mujahadah itu pahit namun Syurga itu teramat manis.

Saat terasa lemah tidak berdaya, putarkan kembali memori silam. Kenanglah kembali detik-detik diri masih lagi di zaman kanak-kanak yang penuh nostalgia tanpa perlu risau memikirkan hala tuju hari muka. Lihatlah wajah-wajah yang sudah bersusah payah membesarkan diri sedari sekecil tapak tangan hingga diri sedia kini. Ukirlah senyum kepada sebuah kenangan yang memberi harapan, menunjang perjalanan sebuah kehidupan.

Senyumlah pada kehidupan yang mendewasakan diri dan mematangkan mata hati. Teruskan melangkah dan melangkah. For the sake of Islam. ^___^



ummuiffah
0633
25 Dzulhijjah 1431H
@ baiti jannati

This entry was posted at Wednesday, December 01, 2010 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 nasihat dari sahabat

Post a Comment

Semangat Palestina yang takkan pernah padam!

Followers

ღ halawatul iman ღ