Tuduhan Palsu  

Posted by Ahlia 'Ammar

[Entri oleh zauji]

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah. Tuhan yang menciptakan manusia dengan sebaik-baik penciptaan. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam, Rasul yang menyampaikan risalah hidayah, kebenaran, yang mewarnai manusia dengan kalam-kalam Tuhan yang maha suci.

Entri ini inshallah bakal menjernihkan kembali tuduhan yang saya hadapi dalam fitnah yang dilakar oleh manusia yang benci dengan suara kebenaran. Entri ini akan menjelaskan tentang isi kandungan kuliah maghrib saya pada hari ahad lepas, 19/6/2011.

Seperti kebiasaan, jadual kuliah maghrib di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Cenderawasih pada hari ahad dipertanggungjawabkan kepada ayah saya, Ustaz Mohd Shukry Jusoh. Namun, disebabkan factor kesihatan yang tidak membenarkan beliau mengumpul tenaga bagi menyampaikan kuliah pada malam tersebut, amanah ini telah diserahkan kepada saya di dalam kereta ketika dalam perjalanan menuju ke masjid berkenaan.

Sebagai seorang anak, seharusnya saya mengambil tempat tersebut untuk diisi dengan kuliah ilmu hadith. Apatah lagi tanggungjawab saya sebagai seorang muslim, jua da’ie dalam menyampaikan da’wah islam. Saya lantang dalam menyebut tentang perkara ini kerana ketika saya disoal siasat sebanyak 3 kali, pihak polis asyik bertanyakan tentang tauliah. Apakah ustaz mempunyai tauliah daripada Jabatan Agama Islam Pahang?

Cukuplah saya katakan, tanggungjawab dakwah ini sudah termaktub dalam pengiktirafan Tuhan kepada manusia sebagai pendakwah. Tauliah dari Tuhan mengatasi segalanya, kerana kalam Tuhan di dalam Al-Quran ada menyebut tentang tanggungjawab ini.

Mengenai isi kandungan kuliah saya, tidaklah seperti tuduhan yang dilemparkan kepada saya. Iaitu, menghina dan mencaci sultan (dengan izin..hehe..) dalam isu menggunakan duit Lynas untuk berjudi di Australia.

Sesungguhnya tuduhan ini amatlah tidak berasas dan tidak mempunyai bukti yang kukuh seperti rakaman suara ataupun video. Suara sumbang ini membuat pertuduhan dengan cara yang bacul kerana tidak tampil secara berhadapan dengan saya, dan saya pun tidak mengetahui identity siapa yang membuat pertuduhan ini. Semoga Allah memberi hidayah kepada saudara yang bacul ini.

Sebaliknya, isi kandungan kuliah saya ialah menyentuh tentang riwayat hidup Imam Ahmad bin Hambal ketika muqaddimah saya. Saya kemukakan beberapa kata-kata Imam hadith yang agung ini dalam perjalanan kembara dakwahnya. Tentang sifat zuhud, tawadhuk dan kemiskinan yang dialami oleh beliau. Beliau kaya dengan ilmu, miskin dengan harta kerana takutkan fitnah harta. Kemudian, saya sentuh mengenai beberapa isu Lynas yang memberi kesan negatif kepada alam sekitar dengan tidak dikaitkan mengenai isu judi seperti yang dikatakan oleh orang yang membuat tuduhan. Menyampaikan beberapa hadith mengenai kepentingan ilmu dalam masyarakat, seterusnya meneruskan kuliah utama saya berpandukan kepada Kitab “Bulughul Maram” karangan  Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqolani dalam membahaskan beberapa hadith bab Jenazah. Mengakhiri kuliah apabila tiba waktu ‘isya.

Malam keesokannya, saya dikejutkan dengan panggilan dari ayah saya yang mengatakan bahawa 5 orang S.B sedang menunggu di rumah untuk menyoal siasat saya atas tuduhan  tersebut. Ketika itu saya dalam perjalanan pulang ke rumah dari menyampaikan kuliah di masjid berdekatan.

Secara ringkasnya, saya digesa untuk ke Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk disiasat pada pagi keesokannya. Sebanyak 2 kali saya diambil keterangan bermula dari jam 9 pagi sehingga 12.30 tengah hari. Kemudian pada jam 7 malam, ketua polis bahagian Jenayah datang ke rumah bagi menyoal siasat ayah saya pula. Saya juga difahamkan beberapa orang polis telah hadir ke Masjid Cenderawasih bagi menyoal siasat perkara berkenaan.

Perkara yang berlaku ini sebenarnya menunjukkan sikap sebenar orang yang takut akan kebenaran. Bagi saya, peluang ini sebenarnya diambil oleh pihak yang berkaitan dalam menjatuhkan institusi Masjid Saidina Umar Al-Khattab yang kebelakangan ini begitu aktif mengadakan ceramah. Lebih-lebih lagi penceramah yang diundang berpaksi kepada pihak pembangkang. Dek kerana takutkan kedudukannya tergugat, maka beberapa orang Ajk masjid digantung tugas.

Saya masih menunggu apakah langkah seterusnya yang akan dimainkan oleh badut ini. Saya juga  mendoakan agar perkara ini dapat ditimbang secara adil oleh pihak yang bertanggungjawab. Kerana pabila runtuhnya institusi masjid, maka rosaklah masyarakat tanpa ilmu. 

Saya juga mendoakan agar Allah memadamkan segala rencana jahat yang dilakar dalam mencapai hasrat yang keji ini. Amin. Entri ringkas ini bagi menjernihkan kembali segala tuduhan yang dilemparkan kepada saya. Wallahu’alam.  

This entry was posted at Tuesday, June 28, 2011 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 nasihat dari sahabat

Post a Comment

Semangat Palestina yang takkan pernah padam!

Followers

ღ halawatul iman ღ