Prolog : Istikharahku Membisikkan Sesuatu  

Posted by Ahlia 'Ammar


“ Cinta hakiki milik Ilahi. Milik RasulNYA. Milik ummi abi. Tidak sesekali milik insani yang ajnabi melainkan insan yang sudah sah bergelar suami isteri..”

Prolog

Petang yang sepi, suram langit dilitupi awan mendung yang berarak perlahan.

“ Subhanallah,” ungkapan puji-pujian yang lahir tulus dari sekeping hati.

Iffah membuka jendela kamarnya seluas-luasnya. Menghayati seraya mentadabbur keindahan alam ciptaan Allah sememangnya sudah menjadi hobi gadis ini. Sambil menghayati, boleh berzikir sekali.

Menghadap pohon cermai yang tumbuh elok di hadapan jendela kamarnya, Iffah tanpa jemu mengungkap tasbih, takbir memuji Sang Pencipta. Segala puji-pujian selayaknya harus dikembalikan kepada Allah, yang mentadbir alam dengan cantik sekali.

Sesekali fikiran Iffah jauh menerewang. Terkadang ada masalah sengaja mengasak masuk ke dalam mindanya saat itu. Seperti mahu mengganggu dirinya yang begitu asyik dengan zikrullah.

Namun hanya yang satu itu asyik berlegar-legar di ruangan fikirannya semenjak beberapa hari yang lepas. Kerap sekali ia datang mengganggu. Menambah runsing di benaknya. Iffah mengeluh berat. Segera dia beristighfar. Memohon perlindungan dari Allah yang Maha Mengetahui segala rahsia hatinya.

Dia bangun lalu mencapai tuala hijaunya lantas berlalu menuju ke bilik air. Ingin ditenangkan dirinya buat sementara. Mengusir pergi galau yang menguasai hatinya. Risau andai bayangan itu adalah jerat Syaitan yang mahu dia leka dengan mainan cinta yang boleh membinasakan imannya. Na’uzubillahi min zalik..

Fathi! Nama itu seringkali bermain-main di benaknya walaupun masih belum ada jawapan yang pasti. Sudah penat ditepisnya. Sudah letih dihalau pergi. Namun, nama itu tetap berkeras untuk menghuni ruang hatinya. Siapakah gerangannya pemilik nama tersebut? Iffah langsung tidak mengenali apatah lagi bertemu dua mata dengan pemilik nama itu. Namun, kebelakangan ini, nama itu sering singgah di fikirannya. Syaitan dengan kerap memasang perangkap agar Iffah hanyut. Andai pelbagai cara sudah dicuba untuk menarik Iffah dari jalan kebenaran namun tetap gagal merobohkan tembok iman gadis itu, dicuba pula jalan yang halus ini.


Iffah masih belum lagi ketemu jawapan kepada istikharahnya. Belum ada tanda-tanda istikharahnya itu membisikkan sesuatu yang pasti. Namun, Iffah akan terus bersabar menanti hadirnya ilham hati, jawapan kepada persoalan hatinya, kerana sesungguhnya istikharah itu sendiri adalah tuntutan Nabi S.A.W. 

Masih segar dalam ingatannya kunjungan bermakna Ustazah Sabariah yang merangkap murobbiahnya tempoh hari.

“ Macam mana Iffah? Ustazah hanya menjalankan tugas,” suatu hari Ustazah Sabariah datang bertamu ke kamar asramanya.

Iffah diam membisu. Kepalanya ditundukkan memandang lantai. Matanya memandang sepi permaidani yang terhampar indah di ruang kamarnya. Jiwanya bergetar hebat. Sungguh, dia tidak menjangkakan kunjungan itu mempunyai makna disebaliknya. Disangkanya murobbiahnya itu hanya sekadar ingin menziarahi anak-anak buah usrahnya yang tiap seorangnya ditaklif untuk menjadi naqibah kepada usrah yang dipegang masing-masing. Rasa terkejutnya jelas tidak dapat disembunyikan. Riak wajahnya menunjukkan dirinya tidak senang dengan situasi begitu.

“ Allahuakbar..” hanya keluhan kecil itu yang mampu terkeluar daripada mulutnya. Pandangannya masih menghala ke bawah. Tidak mampu rasanya untuk bertentangan mata dengan murobbi kesayangannya itu.
Ustazah Sabariah tersenyum. Mengerti galau yang melanda jiwa gadis itu.

“ Orangnya bukan pelajar di sini. Dia belajar agama di Kelantan. Mungkin akan berangkat ke Sana’a, Yaman kelak untuk menyambung pelajaran. Dia meminta bantuan suami ustazah yang mengajar di Kelantan sana untuk merisik sesiapa sahaja untuk dijadikan zaujah(isteri). Orang pertama yang terlintas di fikiran Usatazah adalah kamu, Iffah. Ustazah rasa kamu antara yang sesuai,” Ustazah Sabariah menambah. Menanti  andai ada butir seterusnya yang bakal lahir dari mulut Iffah.

Iffah terkejut. Jelas sekali kerutan di wajahnya yang resah dengan apa yang dikatakan murobbiahnya itu.

“ Subhanallah uztazah.. Ana tidak tahu nak jawab macam mana ustazah. Ana tidak pernah terfikir tentang hal ini lagi. Jauh dari perancangan hidup ana. Lagipun…usia ana masih mentah untuk menyandang jawatan sebagai seorang isteri ,” Iffah meluahkan dengan hikmah.

Ustazah Sabariah terangguk-angguk. Mungkin sudah memahami maksud Iffah.

“ Jadi kamu belum bersedia lah ya? Nanti ustazah beritahu ustaz supaya sampaikan kepada Fathi,” Ustazah Sabariah menepuk lembut bahunya. Tersenyum indah.

 Jadi Fathi adalah namanya. Fathi berasal daripada perkataan arab Fath yang membawa maksud ‘buka’. Adakah dia pemilik kunci yang akan membuka pintu hatiku yang tertutup kemas ini? Adakah dia orangnya yang bakal menjadi imam hidupku? Adakah dia orangnya yang bakal memimpinku menelurusi kembaraan hidup dalam menuju Rabbku? Adakah dia?bicara hati kecil Iffah.

“ Iffah…” Ustazah Sabariah memandangnya. Pandangan seorang ibu. Iffah tenang dengan pandangan itu.

“  Ya ustazah,” Iffah tersenyum. Kurang manis sedikit. Barangkali masih dalam keadaan terkejut.

“ Jadi keputusan kamu muktamad?” Ustazah Sabariah menyoal sekali lagi. Mungkin meminta kepastian. Moga-moga ada peluang baginya untuk mendapat persetujuan daripada iffah. Dia berharap dengan sangat.
Iffah diam lagi. Mindanya ligat berfikir. Dia pasti jawapan yang bakal diluahkannya itu adalah jawapan dari hati suci yang dipandu Ilahi bukan dari kata hati berbaur nafsu.

“ Ustazah…” bicara iffah terhenti seketika. Dia menarik nafas panjang lantas dihembusnya perlahan.
Ustazah Sabariah sabar menanti.

“ Sampaikan kepadanya, biar siapa pun dia, ana minta maaf, buat masa ni, ana terpaksa menolak dahulu. Sebenarnya, perancangan membina baitul muslim masih jauh daripada perencanaan hidup ana, ustazah. Ana pasti, orangnya hebat. Kalau tidak, masakan dia tahu akan batas hukum pergaulan antara ajnabi dan meminta dengan sendiri untuk dicarikan zaujah buat dirinya bukan mencari dengan sendiri. Malah, ana pasti dia tidak memandang kecantikan dan sebagainya, ana pasti dia seorang yang tawaddhu’ dan redha andai bakal zaujahnya sederhana saja orangnya. Orang yang hebat memerlukan sayap kiri yang hebat juga untuk membantunya dalam urusan dakwah. Ana tidak layak untuknya. Pasti ada lebih ramai akhawat yang sepadan dengannya. Ana yakin mereka jauh lebih layak daripada ana yang baru saja mengenali makna hidup sebenar, tujuan penciptaan kita ini. Lagipun ustazah, ana anak sulung. Ana merasakan tanggungjawab ana pada keluarga menjadi awlawiyyat kepada ana buat masa ini. Jadi, ana minta ustazah sampaikan kepadanya, cinta ana kelak adalah milik zauj ana yang sah. Jika dia adalah jodoh ana, ana pasti Allah akan pertemukan kami juga akhirnya untuk ana menjadi pembantunya dalam berjuang. Mintalah dia beristikharah terlebih dahulu. Selebihnya ana hanya berserah kepada Allah. Buat masa sekarang, ana terpaksa menolak ustazah. Mungkin ada calon yang lain yang ustazah rasakan layak untuk dia,” panjang lebar hujah penolakan dari Iffah.

Ustazah Sabariah tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu Iffah lembut. Terharu dengan ketegasan yang dimiliki anak usrahnya itu.

“ Iffah, ustazah sangat kagum dengan sifat tegas yang ada dalam diri dan jiwa mujahidah ni, susah nak jumpa serikandi Islam yang hebat macam Iffah ni, ustazah tahu sebab ustazah dah lama kenal Iffah,” ujar Ustazah Sabariah sambil tersenyum.

“ Tapi..ustazah sarankan Iffah beristikharah terlebih dahulu. Itulah sebaik-baik jalan agar keputusan yang Iffah buat ni adalah satu keputusan yang dipandu Allah. Iffah istikharah dulu ya?” Ustazah Sabariah menyentuh lembut jemari Iffah.

Agak lama Iffah terdiam. Wajahnya yang tenang itu ditatap dengan penuh kasih sayang oleh Ustazah Sabariah yang sudah lama menganggapnya sebagai puteri kandung sendiri. Menanti jawapan Iffah.

Terasa agak kekok apabila kali ini tujuan kedatangan Ustazah adalah menyampaikan hajat murni seseorang. Selalunya Iffah akan kepoh berbicara tanpa segan silu dengan Ustazahnya kerana sudah dianggap sebagai ibu sendiri. Namun, apabila berbicara soal jodoh, Iffah jadi malu. Segan kerana dia jarang membicarakan soal ini dengan sesiapa pun bahkan dengan umminya di rumah walaupun mereka amat rapat.

“ Khair, inshaAllah ustazah…” lambat-lambat Iffah berbicara. Setuju walaupun hatinya amat berat sekali. Kalau diikutkan kata hatinya, mahu saja dia mengelak terus daripada soal jodoh ini kerana baginya dia belum bersedia untuk membahagikan cintanya kepada Dia untuk makhlukNya. Iffah belum bersedia untuk itu walaupun dia tahu dia tidak mampu untuk mengelaknya untuk selama-lamanya. Meskipun begitu, Iffah masih menghormati saranan murobbiah kesayangannya itu. 

“ Alhamdulillah,” Ustazah Sabariah membawa Iffah ke pelukannya. Memanjat syukur ke hadrat Ilahi. Moga-moga di dalam istikharah Iffah akan ketemu jawapan yang pasti. Daripada cerita yang didengar dari suaminya, Ustazah Sabariah cukup berkenan sangat dengan Fathi. Elok budinya, indah pekertinya. Amat cocok andai digandingkan dengan anak buahnya Iffah. Semoga pasangan ini akan memperhebatkan usaha dakwah, merancakkan agenda tarbiyyah. Tinggi sungguh harapan Ustazah Sabariah.

Dalam diam, Iffah cuba menahan agar air matanya tidak tumpah. Namun, gagal. Iffah mengesat butir-butir hangat yang mulai jatuh ke pipinya. Inilah antara keputusan paling berat yang perlu dibuat. Keputusan yang bakal menentukan perjalanan hidupnya hingga ke perhentian yang abadi. Keputusan yang memaksa air matanya untuk tumpah lagi buat kesekian kalinya.

Allah, Allah, Allah... Moga-moga diriku terlindung daripada jerat Syaitan yang tidak putus-putus memasang perangkap untuk sekalian anak Adam. Jauhkan aku daripada jerat cinta nafsu  ya Allah.. Moga jawapan istikharahku kelak akan membisikkan sesuatu.. Rintih iffah dalam sendunya.

“Kita merancang, Dia juga merancang namun perancanganNya jualah sebaik-baik perancangan. InshaAllah, moga yang terbaik untuk Iffah,” Ustazah Sabariah mengeratkan lagi pelukannya. Memahami jiwa suci yang belum pernah disentuh oleh cinta makluk melainkan cinta kepada Rabb yang Maha Agung, yang selayaknya menjadi buruan semua makhluk yang ingin bercinta!

 “ Sesiapa yang jatuh cinta, kemudian menyembunyikannya hingga kematian datang menjemputnya, maka dia adalah seorang yang syahid.” (Riwayat Hakim, Ibn Asakir, al-Dailami, dan lain-lain)




*bersambung...

This entry was posted at Monday, August 08, 2011 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

1 nasihat dari sahabat

Subhanallah..Wallahi,hati yg keras ni boleh mnjadi lembut bila mbaca entry ni.. Kisah cintanya hidup.. Bgetar jiwa membacanya.. Ya Rabb, pertemukan aku dgn mujahidah sprti Iffah ini.. Aameen~ (T_T)

August 8, 2011 at 11:32 AM

Post a Comment

Semangat Palestina yang takkan pernah padam!

Followers

ღ halawatul iman ღ