Corat-coret kisah tudung labuh...  

Posted by Ahlia 'Ammar

Bismillahirrahmanirrahim

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW

Alhamdulillah, masih lagi bernyawa hingga saat ini. Masih lagi dikurniakan nikmat Iman dan Islam dalam diri. Sudah lama tidak meng‘update’ blog. Kononnya, azam baru nak update tiap hari tapi azam tinggal azam. Kata orang, hampeh! Hehe.. yang penting dalam seminggu ada jugak pengisiannya di sini. Harapnya begitulah kan.huhu.. Jadi, hari ini tertarik untuk berkongsi perihal tudung labuh. Artikel di bawah ini di‘copy paste’ dari mukabuku. Tulisan ukhti Fatimah Syarha.

Corat-coret kisah tudung labuh

“Akak, kenapa akak pakai tudung labuh?” Soalan ini sudah banyak kali dilontarkan oleh remaja kepadaku. Adik bongsuku, Asiah Yusra yang sedang mekar meniti usia remaja, turut bertanya. Melihat wajahnya yang saling tidak tumpah dengan iras wajahku, aku terasa bagaikan sedang melihat diriku sendiri. Aku pernah remaja dan terpesona melihat kakak sulung bertudung labuh. Kufahami, remaja bertanya kerana mereka sedang tercari-cari identiti diri.

Kali pertama aku memilihnya sebagai imej diri ketika usiaku remaja. Saat itu, aku bertudung labuh kerana keindahannya menghiasi wanita-wanita berakhlak mulia yang kukenali. Ibuku, kakakku, kakak-kakak naqibahku, ustazah-ustazahku semuanya bertudung labuh. Hingga aku mensinonimkan tudung labuh itu dengan keindahan, keperibadian dan kebaikan. Walaupun aku turut mengenali teman-teman bertudung labuh yang akhlaknya bermasalah namun aku masih menemui keindahan jiwanya, ingin menjadi lebih baik. Hari ini, aku memilih tudung labuh kerana aku yakin ia lebih istimewa pada pandangan-Nya.

Ketika remaja, aku hampir tidak sedar banyak pertanyaan yang terpendam. Mungkin saat itu aku tidak tahu apa yang aku perlu tahu. Hinggalah persoalanku terjawab satu demi satu. Hikmah bicara kakak-kakak naqibahku menerangkan pelbagai soalan yang kutagihkan pengertian. Yang paling kuingati, Kak Siti Aisyah Mohd Nor (kini merupakan bidadari kepada seorang tokoh agama terkenal). Jasa kalian selamanya harum dalam ingatan.

Yang Tertutup Itu Indah

Ketika kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima, “Yang tertutup itu indah!” Jawapan yang membawaku mengkaji surah al-Ahzab ayat 59, maksud dan tafsirannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.’”

Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit bukuku yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit bukuku yang tidak bersampul. Kuperhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap. Kuperhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah! Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan menggariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan yang sakit.

Istimewa Bertudung Labuh

Di sini, aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.

Dikejar Tebuan Tanah

Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan.

Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.

Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.

Terlindung daripada Mata Mat Rempit

Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah.

Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.

Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku.

Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.

Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal.

Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.

“Di mana?” Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada.

Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.

Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali!

Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!

Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut

Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata.

Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.

Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, “Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak.” Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?

Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh

Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan.

Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.

Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya.

Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.

Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat

Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, “Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik.” “Tudung tak labuh pun masih tutup aurat.” “Don’t judge people by its cover.” Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.

Nota: Artikel disalin dari facebook Ust. Zahazan Mohamed.

Yang meng‘copy paste’

Ummu ‘Iffah

Israel akan musnah pada 2022M/1443H?  

Posted by Ahlia 'Ammar in

HAIKAL adalah sebuah tempat ibadat yang dibina oleh Nabi Sulaiman AS untuk bermunajat kepada Allah SWT di samping istananya yang hebat pada ketika itu. Buku sejarah Lubnan menyebut mengenai pembinaan itu dengan bantuan masyarakat kaum Kan’an (penduduk Baitulmaqdis ketika itu). Ada yang mengatakan bahawa ia hanya sebuah mihrab (tempat munajat) yang mempunyai kedalaman sepuluh hasta dan lebar di kiri dan kanan hanya lima hasta. Sejarah tidak dapat memastikan tempat dan bentuk yang tepat bagi haikal itu. Seorang paderi Kristian (Bost Gorge) di dalam kitabnya menyebut bahawa ia terletak di pintu masuk Bandar Khalil (Baitulmaqdis) yang disebut dengan nama ‘Mihrab Daud’. Apa yang jelas ialah tempat yang menjadi tapak haikal itu, bukan di bawah binaan Masjid Al-Aqsa sekarang seperti dakwaan orang Yahudi. Dakwaan orang Yahudi adalah palsu berdasarkan fakta di bawah: Sebenarnya tiada satu kesan walaupun sebuah binaan kecil yang menunjukkan bahawa Nabi Sulaiman pernah membina haikal di tapak Masjid Al-Aqsa. Semuanya musnah selepas serangan Raja Babylon (Bokhtansar) pada tahun 589 sebelum kelahiran Nabi Isa AS iaitu 300 tahun selepas kewafatan Nabi Sulaiman AS. Peristiwa Israk dan Mikraj adalah janji Allah SWT yang menunjukkan bahawa Islam sudah sampai ke sana dan al-Quran sendiri menyebut masjid bukannya haikal. (Masjidul Aqsa). Nabi Ibrahim juga beragama Islam seperti yang jelaskan oleh Allah SWT di dalam surah Al-Imran ayat 67 bermaksud: “Tidaklah Ibrahim itu Yahudi atau Nasrani, tetapi adalah seorang Islam”. Al-Quran mula dikumpulkan pada tahun 12 Hijrah ketika pemerintahan Saidina Abu Bakar RA dan Kitab Taurat orang Yahudi hanya ditulis selepas 800 tahun kewafatan Nabi Musa AS. Ini menunjukkan bahawa Taurat amat terdedah kepada penyelewengan dan penipuan. Kesimpulannya, orang Yahudi tidak boleh mendakwa bahawa bumi Palestin dan Baitulmaqdis sebagai milik mereka kerana Nabi Ibrahim AS sudah datang ke sana sejak 1805 sebelum kelahiran Nabi Isa AS. Tujuan dakwaan berkenaan hanya untuk menghalalkan pencerobohan mereka terhadap tempat suci umat Islam itu. Mengenai kemusnahan Yahudi dan kerajaan Israel pada tahun 2022, tidak dapat dipastikan. Semuanya mengikut pendapat sesetengah pihak yang meneliti dan merumuskan bahawa tertegaknya kerajaan Israel adalah permulaan kepada kemusnahan mereka. al-Quran menerangkan mengenai berlakunya kemusnahan mereka. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan kami tetapkan terhadap Bani Israel di dalam kitab bahawa mereka akan melakukan kerosakan di atas bumi ini sebanyak dua kali dan menunjukkan sifat sombong. Maka apabila datang saat hukuman bagi kejahatan pertama, kami datangkan hamba-hamba yang perkasa, lalu mereka bermaharajalela di kampung-kampung. “Dan itulah ketetapan yang pasti terlaksana. Kemudian kami berikan kepadamu giliran untuk mengalahkan mereka, maka kami akan membantumu dengan harta dan anak-anak dalam sekala yang besar. Jika kamu berbuat baik, maka ia untuk dirimu sendiri. Begitu juga dengan kejahatan. Apabila datang saat hukuman yang kedua, maka kami bangkitkan musuhmu untuk menyuramkan wajahmu lalu mereka masuk ke dalam Masjid Aqsa sebagaimana ketika masuk kali pertama dulu dan membinasakan apa saja yang mereka kuasai.”(Surah Al-Isra’ ayat 4 – 7) Hukuman yang pertama sudah berlaku sebelum turunnya al-Quran berdasarkan ayat ke 5 bahawa mereka sudah dihancurkan oleh Babylon (Bokhtansar). (‘Itu adalah ketetapan yang pasti terlaksana’). Hukuman kedua adalah bermula tertegaknya kerajaan Israel pada 1948 kerana al-Quran menyatakan selepas kedatangan mereka secara beramai-ramai. Firman Allah SWT: “Dan setelah itu kami berfirman kepada Bani Israel. Tinggallah di negeri ini, tetapi apabila datang masa yang ditentukan, kamu akan dilumpuhkan secara beramai-ramai” (Al-Isra’ 104) Ini jelas apabila mereka semakin ramai berkumpul di sekitar kota Baitulmaqdis ketika hampir masa kemusnahan mereka. Ayat menyebut mereka akan dimusnahkan oleh tentera yang kuat. Namun demikian bilakah kemusnahan itu, tidak dapat diteka. Teori seorang pendeta Yahudi mengatakan bahawa kerajaan Yahudi Israel akan kekal selama 74 tahun juga tidak boleh dipandang remeh kerana sejak penubuhan negara haram Israel - 1948 sehingga 2022 adalah jangka hayat selama 74 tahun. Pimpinan Israel juga menganggap bahawa selepas peperangan terhadap Lubnan pada 1982 adalah tahun nikmat bagi mereka sehingga 40 tahun seperti yang dinaskan di dalam Kitab Taurat ciptaan mereka. Ini bermakna penamatnya ialah pada 2022 (1982 + 40 = 2022). (Muhammad Ibrahim Mustafa-Penganalisis mengenai masa depan kerajaan Israel). Ada juga teori kebetulan yang disebut mengenai bilangan jumlah huruf dari ayat 2 surah Isra’ hingga ayat 104 berjumlah 1443. Jika dikaitkan dengan 1443 hijrah, maka ia bersamaan 2022 masehi. Namun demikian, ia adalah teori yang tidak akan dapat dicapai sekiranya umat Islam dan dunia Arab masih lagi bercakaran antara satu sama lain dan mementingkan kedudukan dunia. Bagi umat Islam, mereka mestilah yakin dengan ayat-ayat Allah SWT dan terus berusaha melaksanakan syariat Allah seterusnya melemahkan musuh Allah yang utama di atas bumi ini. Firman Allah SWT: “Kamu akan dapati mereka yang paling benci kepada orang beriman ialah Yahudi dan mereka yang syirik dengan Allah SWT”(Surah Al-Maidah 82) Penulis ialah Eksekutif di Unit Agama NSTP dan boleh dihubungi melalui emel zaman@nstp.com.my Berita Harian, 4/6/2010 sumber: http://mimpi916.blogspot.com/2010/06/israel-akan-musnah-pada-2022m1443h.html

cebisan memori  

Posted by Ahlia 'Ammar in ,

Bismillahirrahmanirrahim Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW Alhamdulillah, baru saja usia melihat result block 4. Hanya lafaz setinggi kesyukuran yang mampu diungkapkan. Selesai sudah perjuangan di tahun satu. 4 tahun masih lagi menanti di hadapan. InshaALLAH.. Sekilas perjalanan hidup sebagai tholibah kulliyyah at-tibb. Satu tahun pembelajaran yang memenatkan. Namun disulami dengan segala macam suka duka menghiasi tabir kehidupan. Moga perjalanan ini dalam redhaNya. Masih lagi segar di ingatan ketika mendapat ‘offer letter’ meneruskan pengajian dalam jurusan perubatan. Hati berbelah bagi. Antara terima ataupun tidak. Antara minat dan keluarga. Harapan ummi dan abi ingin sekali melihat salah seorang anaknya menjadi doctor. Namun lain pula kata hati. Minat diri tidak menjurus ke arah itu. Keputusan akhir diambil. Teruskan saja. “ Kalau orang lain boleh berjaya, takkan aku tak boleh. Cuba dulu. Moga pertolonganNya sentiasa mengiringi. insyaALLAH..” Dibulatkan tekad hati. Ingin menjadi penawar bukan saja kepada jasadi malah rohani. Doktor yang mampu merawat luaran dan dalam masa yang sama mampu memberi syifa’ kepada qalbun. Teringat kata-kata hikmah zaujah muallim yang pernah mengajarku suatu ketika dahulu. “Jadi doctor ni bagus. Bila nak berdakwah senang. Orang mudah nak terima sebab orang dengar cakap doctor ni. Ada kawan makcik dia ni doctor. Pesakit dia datang jumpa dia bukan setakat nak ubat luaran tapi nakkan juga penawar dalaman..” Kata-kata itu digenggam erat. Moga dengan pertolongan dariNya, diriku mampu begitu. Dengan izinNya, ujian pertama menimpa tatkala diri baru ingin menyesuaikan diri. Fail exam yang pertama terus mematahkan semangat yang baru ingin dibina. Terasa tidak layak untuk bersama teman-teman lain. Dilema dalam diri. Mahu diteruskan ataupun tidak. Kemudian, bertemu dengan Dr. Azarisman. Diberi pilihan samada mahu meneruskan perjuangan atau tukar ke jurusan lain. Doctor bagi tempoh beberapa minggu. Pulang ke bilik, segera menghubungi ummi dan abi. Abi hanya menyerahkan segalanya kepadaku. Abi tidak akan menghalang kehendakku. Abi sokong saja. Jauh dalam hati, aku tahu abi mahu diriku kekal dalam jurusan ini. Sahabat-sahabat turut berterusan memberi semangat. Langkah diteruskan. Membina kembali semangat yang kian menghilang. Meraih kembali ruhul jihad agar perjuangan ini tidak mati. “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kemampuannya..” ( Al-Baqarah : 216) Block-block seterusnya, Alhamdulillah. Berkat pertolongan dan kasih sayangNya, langkah diatur dengan kemas. Walaupun kadang tersadung, jatuh dan bangun namun kesemuanya sudah menjadi alah. Dalam berjuang mustahil sekali jika tidak ada mehnah yang merintangi. "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan,"Kami telah beriman" sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang2 yg dusta." (Al-Ankabut : 2-3) Kembara ini diteruskan. Selesai sudah satu tahun. Berbaki 4 tahun. Mehnah yang bakal mendatangi kelak moga dengan izinNya, dapat diterima dengan tabah dan sabar. Perjalanan ini masih lagi jauh. Selagi maut belum menjemput, selagi itu perlu berjuang. Perjuangan menegakkan ad-deenul haq. Kerana pasti ISLAM akan tertegak suatu hari nanti. Itulah janjiNya. Secebis memori sepanjang kembara ini sebagai bekalan ke dunia sana. Moga segala yang baik-baik itu menjadi asbab ke SyurgaNya. Terus melangkah dan melangkah.. Akhir kalam, wassalam.. p/s: kawan2, chaiyok2!! Moga jadi muslim dan mukmin professional! ^_^ Cebisan memori, Ummu ‘Iffah

Cubaan Pertama  

Posted by Ahlia 'Ammar

Bismillahirrahmanirrahim

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW

Alhamdulillah, masih lagi bernyawa hingga saat ini. Masih lagi diberi nikmat Iman dan Islam. ‘Ala kulli hal, Alhamdulillah. Segala puji selayaknya hanya untuk Dia.

Hari ni berpeluang menyediakan kek batik buat keluarga tercinta. Cubaan pertama. Walaupun rupanya tidaklah seelok mana tapi Alhamdulillah rasanya tetap ada. Kalau tak menjadi langsung tu memang parah la kan. Hehe..

Bagi yang ingin mencuba, bolehlah cuba resepi ini. Rasanya memang umphh.

Bahan-bahan

1 butter cup

2 packet biskut Marie

1 tin susu cair/susu sejat

1 tin susu pekat manis

½ cawan serbuk koko + 1 cawan milo + 1 sudu nescafe + 1 cawan air panas

1 cawan nestum

Cara-cara

1. Patahkan biskut kepada dua.

2. Buka tin kedua-dua jenis susu.

3. Panaskan kuali dan masukkan buttercup.

4. Kacau, biar buttercup cair tetapi bukan berminyak.

5. Masukkan campuran koko milo, susu pekat dan susu cair. Kacau rata dan masukkan nestum.

6. Bila mendidih masukkan biskut marie. Kacau rata dan tutup api.

7. Masukkan dalam bekas kek dan tekan dengan senduk biar rata.

8. Sejukkan.

credit to google

Senang saja kan? Perlu diingatkan disini bahawa blog ini bukanlah blog resepi @ masakan. Akan tetapi entri ini hanyalah sekadar ‘sharing’ semata. Dan juga disebabkan kekeringan idea untuk menulis hari ini. Jadi, kongsi resepi pun cukuplah kan daripada tak kongsi apa-apa langsung. (Azam baru, update blog tetiap hari. Padahal dah tengah tahun dah pun.huhu..) Ilmu itu luas, tidak hanya berkisar kepada permasalah ummah saja. Memasak pun perlukan ilmu. Kalau tidak ada ilmu memasak, tunggang langgang lah dapur gamaknya.huhu..

Yang menulis@manaip,

Ummu ‘Iffah

Semangat Palestina yang takkan pernah padam!

Followers

ღ halawatul iman ღ