Jalan Pulang ke Pangkuan Tuhan  

Posted by Ahlia 'Ammar

Setiap antara kita tidak lari daripada melakukan dosa. Kita bukan maksum seperti para Nabi. Kita hanya manusia biasa yang amat lemah dalam menjaga urusan hati dan akal. Apabila keduanya tidak dipandu dengan iman, maka mudahlah kita terpaling dari jalan kebenaran.

Kadang-kadang kita sedar apa yang kita lakukan itu suatu dosa namun kita lebih menangkan nafsu.

“ Alahh, dosa kecik aje. Nanti boleh cover dengan amalan-amalan kebaikan yang lain..”

Dosa kecil apabila kita berterusan melakukannya akan menjadi dosa besar. Apatah lagi, kalau dosa yang kita lakukan itu tergolong dalam dosa-dosa besar. Bila kita tersedar dari leka yang berpanjangan itu barulah kita berusaha mencari kopiah, telekung segala bagai memohon ampun atas kesilapan lampau.

Namun, kita seharusnya bersyukur kerana Islam adalah agama yang mana jalan pulang ke pangkuan Tuhan terlalu luas. Inilah istimewanya Islam. Indahnya Islam. Namun, benarkah kita begitu menghargai nikmat Islam yang tiada tara ini?

Peluang untuk seorang insan kembali ke pangkuan keampunan dan keredhaan Allah tidak pernah disekat oleh sebarang jarak, waktu, latar diri, keturunan, atau harta. Sesiapa sahaja yang ingin pulang ke pangkuan Allah tidak pernah dilarang oleh agama ini disebabkan oleh jenis dosanya atau darah keturunan yang diwarisi atau usianya yang lanjut atau apa sahaja.

“ Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah, lalu memohon ampun dosa-dosa mereka(dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah) dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya). Orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan daripada Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan(bagi) orang yang beramal” [Ali-Imraan : 135-136]

Islam amat berbeza sekali berbanding agama lain. jika kristian memerlukan si pendosa untuk mengaku akan dosa-dosanya di hadapan paderi sekalipun paderi itu tidak melihat wajahnya agar dosa si pelaku akan terampun. Namun,  Islam amat menjaga aib umatnya.

Sekalipun si pendosa itu melakukan dosa yang amat berat sekali, Allah akan tetap melindungi aib dirinya melainkan dirinya sendiri lah yang mendedahkan aib tersebut  kepada orang ramai. Maka, saat itu dirinyalah yang memalukan diri sendiri.

Sesungguhnya rahmat Allah itu teramatlah luas. Dia Maha Pengampun. Saban waktu Allah menanti andai adanya hamba-hambaNYA yang ingin memohon ampun atas keterlanjuran dosa. Allah itu sangat baik. Allah tidak akan sekali-kali menghampakan permintaan hambaNYA. Mohonlah pengampunan daripada Allah seikhlas hati, agar segala dosa yang sudah disesali tidak akan berulang lagi. Berjanjilah dengan diri untuk menjadi hambaNYA yang beriman. Sungguh Allah amat merindui rintihan suara hambaNYA yang sentiasa memohon ampun dan maghfirah dariNYA.

“ Wahai anak-anak Adam, selagimana engkau memohon dan mengharapkan kepadaKU, Aku ampunkan engkau walau apa pun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu pohon keampunan daripadaKU, Aku ampunkan engkau, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepadaKU dengan dosa yang hampir memenuhi bumi,namun engkau menemuiKU tanpa mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku datang kepadamu dengan penuh keampunan.” [HR at-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani]




Al-faqirah ila Allah,
Ummu ‘Izzah
2120 p.m /240611
Baiti jannati

Satu Rasa  

Posted by Ahlia 'Ammar

Saat ini bersendirian memainkan jemari agar menari dengan indah di papan kekunci. Encik zauj sedang dalam perjalanan pulang ke Pahang memandangkan beliau mempunyai tugasan di sana. Diriku masih di kedah untuk beberapa hari lagi sebelum menyusul ke sana. Doaku sentiasa mengiringinya tiap masa dan tika dari jauh agar perjalanannya selamat inshaAllah.

Sendiri sebegini membuatkan rasa rindu pada si dia amat kuat. Mencengkam hati. Rindu untuk menatap wajahnya yang soleh, rindu mendengarkan suaranya yang merdu tika mengalunkan bacaan ayat suci kalamullah, rindu berimamkannya, rindu untuk sama-sama mentadabbur. Segalanya indah saat dia di sisi. Sama-sama menyulam rasa mengejar cinta yang agung dan utama, cinta kepada Allah Rabbul ‘Alamin.

Alhamdulillah, sudah dua bulan lebih baitul muslim kami terbina. Syukrulillah kerana Dia yang menyatukan dua hati ini. Tempoh dua bulan lebih yang terasa seperti baru semalam lafaz sakinah itu kedengaran. Terasa begitu singkat detik itu. Dan yang pastinya masih jauh perjalanan hidup ini selagi masanya untuk ke destinasi seterusnya belum tiba.

Ada orang kata hidup ini ibarat sebuah pelayaran. Sang suami menjadi nakhoda yang mengemudi bahtera cinta dengan penuh kasih sayang. Sang isteri sentiasa menemani di sisi dan memberi kata semangat buat suami agar terus kuat mengemudi bahtera.

Adakalanya bahtera berlayar dengan tenang di tengah lautan yang luas. Ketenangan yang mampu membuatkan jiwa-jiwa kagum akan kuasa agung milikNYA. Ketenangan yang sukar dirasa melainkan oleh jiwa-jiwa yang masih hidup dalam cintaNYA. Ketenangan yang penuh luar biasa. Cinta yang membungakan mawaddah dan membuahkan rahmah.

Terkadang bahtera melalui suatu detik getir. Berhadapan dengan mehnah dan dugaan di tengah lautan luas tanpa ada bantuan yang dihulur sesiapa. Hanya kepadaNYA kita memohon dengan penuh pengharapan. Ternyata di tengah lautan luas yang hanya ada bahtera kita yang dilanda dugaan hebat, hanya ada dua insan bernama suami dan isteri, dan pengharapan yang utama hanyalah kepadaNYA. 

Itulah dinamakan lumrah hidup. Sunnatullah yang telah sedia tetap. Kisah mahligai indah 2 jiwa yang hanya dambakan cinta agung, cinta Rabbul ‘Izzati. Bukan hanya romantika seperti kisahnya Romeo dan Juliet. Begitu juga agungnya cinta Shah Jahan kepada Mumtaznya hingga terbentuknya taj mahal yang indah itu. Dan bukan juga cintanya Jack kepada Jane dalam titanic. 

Bahkan, ia adalah sebuah cinta dari lautan cinta Allah yang Esa. Dia yang meniupkan rasa ini ke dalam setiap jiwa insani. Dia menitipkan cintaNYA melalui perantaraan suami atau isteri. Ketahuilah, rasa cinta kepada pasangan itu adalah sebenarnya cinta Allah kepada kita. Pengantaranya adalah salah satunya, suami atau isteri. 

Sungguh aku amat mencintaiMU ya Rabbi.....




Mode : rindu kat suami T__T

-Ummu 'Izzah-

Aduhai Puteriku Sayang  

Posted by Ahlia 'Ammar

Saya gemar menambah ramai kenalan di facebook tidak rasmi saya. Di mana di situ semua kenalan saya bukan dari kenalan rapat, hanya kenalan di alam maya. Manakal facebook rasmi saya adalah untuk kenalan yang saya kenal. (maknanya ada dua facebook la ye. Kawan2, ce la cari fb saya yg lagi satu tu :P )


Apa yang menarik minat saya adalah kebanyakan atau majority daripada kenalan fb tidak rasmi adalah dari kalangan akhawat yang berniqob atau berpurdah. Bagaimana saya tahu mereka berniqob ya? Jeng..jeng..Sudah tentu daripada profile picture yang terpampang jelas di depan mata :D

Apa yang membuatkan saya terfikir dan tertanya-tanya adalah, apakah tujuannya mereka berbuat demikian. Maksud saya meletakkan gambar masing-masing di profile picture facebook. Hurmm..

Secara positifnya (husnu dzon), mungkin kerana ianya sebagai salah satu pengenalan diri mereka bahawa mereka adalah niqobis. Saya bersetuju dengan pendapat kak I (zaujah ust. Z) yang menyatakan bahawa mungkin kerana mereka mahu dikenali sebagai niqobis dan mengelakkan daripada orang asing terutamanya ajnabi daripa me’request friend’ dengan mereka. Secara ringkasnya, sebagai langkah menjaga diri dan identity.

Namun, bila difikirkan secara su’u dzon (macam jahat pula kan..hik2, bukan jahat nakal aje :P) kenapa ye perlu diletakkan profile picture yang agak berlebihan dan keterlaluan. Contohnya gambar yang diletakkan difokus pada bahagian mata yang dicelak tebal memandangkan bahagian wajah yang lain terlindung. Ada juga yang saya pasti memilih gambar yang terbaik dengan pose yang terbaik untuk diletakkan sebagai profile picture bukan?

Apa yang menyedihkan lagi adalah bilamana akhlaknya tidak seindah rupa yang dilindung rapi :( Bukan bermaksud saya mengkaji atau menyiasat latar belakang mereka ye. Ini berdasarkan kepada pemerhatian saya tiap kali saya login ke facebook tersebut.

[Oh ye,harus diingati di sini bahawa ianya bukan untuk semua niqobis ye. Untuk segelintir sahaja. Sebabnya saya turut mengenali niqobis lain yang indah akhlaknya seindah wajahnya yang terlindung rapi. Sunhanallah! ]

“ Maaf, ana tidak approve request daripada kalangan lelaki! ”

“ Maaf, ana tidak suka dan tidak akan chat dengan lelaki! ”

“ tolong jangan ganggu ana lagi, ana tidak bersahabat dengan lelaki! ”

Ohh, ayat apakah itu? Toink..toinkkk… (-_-”) Ayat tersebut seolah-olah anda sedang bangga dengan dirimu kerana ramai lelaki cuba mendekatimu.

Lebih malang lagi apabila ayat-ayat itu anda post di wall facebook di mana ramai yang dapat melihat, membaca lantas mengomen status anda itu.

Lebih dahsyat lagi apabila ada sanggahan atau teguran dari mereka yang bergelar lelaki, mulalah anda melenting tak tentu pasal. Ohh, saudariku sayang.. mengapakah kalian begitu…

Akhawat yang kucintai dan kusayangi kerana Allah, jika benar dirimu bertujuan untuk menjaga dirimu daripada pandangan liar ajnabi, sudah pasti kalian perlu menjaga hati terlebih dahulu. Benarkah tujuan kalian itu betul? Adakah ianya dalam lingkungan redha Ilahi? Apakah tiada cara lain untuk dirimu memperkenalkan dirimu di alam maya selain meletakkan gambar masing-masing. Hurmm..

Antara solusinya yang saya dapat fikir setakat ini, jika kalian masih bertegas untuk terus meletakkan gambar anda yang berniqob, pastikan gambar itu dari jauh, maksudnya gambar itu apabila dilihat kelihatan kecil dan tidak nampak dengan jelas sangat diri anda sekiranya dijadikan profile picture. Elakkan dari meletakkan gambar yang dekat dan focus kepada bahagian tertentu contohnya mata ye.

Solusi yang kedua, letaklah gambar yang ramai-ramai. Maksudnya, cuba elakkan meletak gambar anda berseorangan diri. Kalau letak gambar ramai-ramai, tidaklah anda menjadi focus utama dalam gambar tersebut. Kan molek begitu..^_^

Solusi seterusnya, cuba privatekan semua gambar anda di facebook. Sekiranya gambar yang anda letak itu adalah untuk tatapan saudara atau teman rapat, anda boleh customize dan edit info gambar tersebut supaya HANYA mereka sahaja yang boleh melihatnya.

Solusi seterusnya. Err.. dah takde idea pulak. Apapun solusi yang anda terfikir, moga ianya adalah untuk kebaikan diri anda juga. Dan inshaAllah dalam linkungan redha Ilahi. (^_^)v

Namun yang pastinya, lebih indah dan molek andai anda tidak meletakkan gambar anda sendiri sebagai profile picture.  Letaklah gambar baby ke, kucing ke, kartun ke, kawanimut ke. Kan lagi comel. Hihi.. :P

Sebenarnya, teguran ini bukanlah datangnya dari saya. Saya sekadar menyampaikan apa yang suami saya katakan. Kita tak tahu apa yang bermain di fikiran orang lelaki apabila melihat gambar wanita. Susah tau nak teka. Saya pun tak pandai lagi nak teka fikiran suami saya.  

Kesimpulannya, kalau nak marah, jangan marah saya ye, marah suami saya. Aci tak? :P



P/s : teguran ini bukan untuk niqobis saja ye, ianya adalah untuk semua yang bergelar wanita. Dan yang paling utama teguran ini adalah untuk diri saya juga. ^_^

Doa  

Posted by Ahlia 'Ammar

Subhanallah..Alhamdulillah..Allahuakbar..

Sudah lama blog ini menyepi, menyendiri dari khalayak. Atas asbab tertentu diprivatekan seketika. Ramai sahabat yang bertanyakan bila akan dibuka kembali blog ini, diri hanya mampu tersenyum. Hati bermonolog sepi, inshaAllah suatu saat bilamana diriku sudah bersedia.

Alhamdulillah, tanggal 2 April 2011 mendapat taklifat baru. Menjadi seorang suri buat dia yang asing. Menjadi teman hidupnya dunia dan akhirat. Menjadi sayap kiri kepada perjuangannya. Menjadi penghibur dikala dia berduka. Menjadi teman setia menadah telinga. Menjadi seadanya buat dia yang teristimewa.

Luaran tampak senang, tampak bahagia. Namun hakikatnya dalaman itu sentiasa berperang dengan rasa dan satu tanggungjawab yang teramat berat. Ianya suatu pengtaklifan yang bukan biasa-biasa. Kerana ianya membawa kehidupan ke sana. Bukan di sini yang hanya sementara namun di sana yang kekal selamanya. Hanya kepada Sang Khaliq yang Maha Kuasa kami menggantung harap agar dipermudahkan urusan dunia dan di'hadiah'kan akhirat yang bahagia.

Kepada semua sahabat yang dirahmati Allah, doakan agar dipermudahkan segala urusan kami. Separuh urusan agama sudah selesai, namun tidak tahu apakah ianya sempurna atau terpalit sedikit noda di mana-mana. Allahu Rabbi, kepadaMU kami meletakkan segala pengharapan.



-bidadari zauji-

Semangat Palestina yang takkan pernah padam!

Followers

ღ halawatul iman ღ