nota sepi khadam Ilahi  

Posted by Ahlia 'Ammar

adik alya yang dirindui... T_T

Di kala sepi menemani hari. Di kala rindu menjengah relung hati. Maka lahirlah bait-bait sepi diungkapkan melalui pena menghiasi suram jiwa seorang hamba. Dipamer kemas di teratak kesayangan. Bukan untuk meraih simpati. Jauh sekali berbangga diri. Mungkin melahirkan kekesalan yang telah tersimpan kemas sudah sekian lamanya jauh di lubuk sanubari. Hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya. Dia bersamaku setiap detik jantungku berdegup. Dia yang Maha Esa tetap bersama KITA, hamba hinaNYA.

Rindu yang berlabuh di pangkalan hati membawa bersama deruan angin kencang. Ombak tinggi menggulung-gulung menghempas pantai jiwa yang dipenuhi noda. Allah..rindunya. Kuatkan jiwa hamba hinaMu ini. Thabatkan diri dalam jalan juangku. Walau bermacam mehnah membadai, kupohon Kau pinjamkan kekuatanMU untukku terus melangkah. Sebagai seorang khadam jua khalifah taklifanMu.

Rindu pada sosok itu makin menggunung setinggi langit ketujuh. Rindunya pada mereka. Umi, abi dan adik-adik tercinta. Namun, sosok kecil itu paling kurindui. Alya! Kakak merinduimu Alya. Apa khabar hendaknya kamu di sana. Sudah pandai berjalan atau belum. Aliyah Maisarah nama diberi kepada si cilik yang sangat comel lagi tembam itu! Tersangatlah geram tatkala terpandang wajah suci yang montel milik alya. Kali terakhir pulang ke kampung hampir sebulan yang lepas. Terasa kaki sangat berat untuk melangkah meninggalkan alya comel di rumah. Seperti ingin dibawa lari pulang ke sini melewati hari-hari bersama,menemani diri yang sepi.

eyoww..eyoww..opsss..assalamualaikum..syapa tu??^_^

Rindu ini sekadar untuk menutupi kekesalan hati. Segala keluh kesah jiwa dipendam sarat dalam ruangan hati yang paling dalam. Akhirnya, keputusan ini dipilih setelah beberapa kali dipertimbangkan. Saya mungkin memilih untuk tidak lagi turut serta bersama mereka. Beberapa kali terluka dengan mereka. Salah diri saya akui. Kerap kali saya tidak menyertai mereka. Saya ada alasan yang tersendiri. Bukan bermakna saya lari dari perjuangan. Tidak pernah sama sekali. Kerana berjuang itu jalan yang saya pilih setelah sekian lamanya. Perjuangan itu wasilah yang telah Dia taqdirkan untuk saya lalui dalam usaha membantu agamaNya. Ini adalah amanah dariNya kepada diri hina ini.

Pernah beberapa kali terserempak dengan mereka. Niat hati ingin bertegur sapa, bermanis muka kerana sesungguhnya jauh di lubuk hati paling dalam saya sangat merindui mereka. Terluka hati tatkala ada yang memalingkan muka. Sebaris senyuman yang saya harapkan langsung tidak kelihatan. Lantas, saya hanya berdiam diri memendam rasa. Mungkin kerana sudah lama tidak bersua atau mungkin kerana kerapkali saya kelihatan bersama teman yang berlainan fikrah. Apa yang pasti, saya masih memilih wasilah yang sama. Tidak pernah berubah walaupun saya jarang bersama kalian. Harapan di hati besar sekali ingin melihat semua antara kita yang berlainan fikrah bersatu memperjuangkan agamaNya. Usahlah timbul perasaan tidak selesa dalam diri, semangat assabiyyah yang tinggi kerana kita adalah hamba hinaNya,tidak layak memiliki sifat yang sedemikian rupa. Bersama bersatu berganding bahu menegakkan ad-deenul haq di atas muka bumi singgahan sementara ini.

Perjuangan ini akan saya teruskan. Walau saya bersendirian buat masa ini. Kata orang, mustahil dakwah bersendirian akan mendatangkan hasil. Setiap antara kita perlu memiliki wasilah yang tersendiri dalam merealisasikan matlamat perjuangan. Benar. Saya tidak bersendirian selamanya. Apa yang pasti, saya sudah punyai agenda yang tersendiri. Tidak lama lagi barangkali. Langkah ini akan saya teruskan. Langkah seorang da’ie. Langkah seorang khadam Ilahi. Menelusuri likuan kembara penuh ranjau. Terkadang rebah. Terpalit lumpur noda. Mehnah yang merintangi sepanjang kembara ini bukan asbab melunturkan semangat juang dalam diri. Kerana perjuangan ini perjuangan yang hakiki. Siapa lagi yang bisa meneruskan langkahan ini jikalau bukan kita wahai jilul harapan agama! Kitalah rantai-rantai yang menyambung perjuangan Baginda S.A.W! kerana apa yang pasti, perjuangan ini tidak akan mati!

" Perjuangan bukan mengukur kekuatan, bukan juga pentas mempamer kebijaksanaan. Perjuangan adalah gambaran keikhlasan hati dalam menyebar risalah Nabi mengembang ISLAM di muka bumi.. "

Nota hati,

Ummu ‘Iffah

Kembar yang bernama Qarin..  

Posted by Ahlia 'Ammar

Bismillahirrahmanirrahim.. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.. Alhamdulillah, masih lagi bernyawa hingga saat ini. Masih lagi diberi nikmat Iman dan Islam yang menjadi 'pemandu' dalam likuan kembara ini. Alhamdulillah, selamat sampai ke kampus pagi isnin yang lepas. Lalu, bergegas-gegas bersedia untuk ke kelas pagi itu. Namun dengan semangat yang lama disebabkan pulang bercuti hampir 3 minggu lamanya menyebabkab hati dan jiwa raga berat yang teramat untuk kembali meraih ilmu. Memerlukan koreksi diri dan momentum paling maksima.huhu.. Chaiyok2!! ^_^ Sudah beberapa hari jugak la meninggalkan teratak kesayangan ni sunyi sepi tanpa sebarang kabar berita. Kesian kamu wahai encik blog ditinggalkan sendirian seketika. Moga tidak makan hati berulam jantung la ya hingga menyebabkan kelancaran untuk berblogging terganggu disebabkan ragammu. (kamu ada jantung dan hati kah encik blog?ngee..~) Okeh! Hari ini masa untuk mengisi ilmu baru di sini. Sedang diri leka berjalan,merangkak dari satu teratak maya ke teratak maya yang lain, mata tertancap pada satu artikel yang teramat menarik. Tahukah anda bahawa, kita semua masing-masing punyai kembar tersendiri. Malangnya, mereka semua kafir kecuali kembarnya kepada junjungan mulia Rasulullah SAW. Siapakah? Haiya ta'aruf ma'ah.. Si Kembar Bernama Qarin Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ia sebagai "kembar" manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w. sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, qarin Rasulullah adalah muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir. Pada umumnya qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan. Untuk mengimbangi usaha qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca "Bismillah" sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah. Sabda Rasulullah s.a.w. daripada Abdullah Mas'ud r.a. maksudnya: "Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa jin, dan juga Qarin daripada bangsa malaikat. Mereka bertanya: "Engkau juga ya Rasulullah." Sabdanya: "Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat kuislamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja." (Riwayat Ahmad dan Muslim) Aisyah r.ha. menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w. keluar dari rumahnya (Aisyah), Aisyah berkata: "Aku merasa cemburu." tiba-tiba Baginda berpatah balik dan bertanya: "Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?" Aku berkata: "Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah." Sabda Baginda: "Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?" Aku bertanya: "Apakah aku ada syaitan?" Sabda Baginda: "Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin." Aku bertanya lagi: "Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?" Jawab Baginda: "Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam." (Riwayat Muslim) Di dalam hadis lain daripada Ibnu Umar r.a., sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s. dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia membuat kesalahan." (Riwayat Baihaqi) Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi oran beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang megikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, "Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu." Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: "Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum." Qarin akan berpisah dengan "kembar"nya hanya apabila manusia meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan manusia.

Corat-coret kisah tudung labuh...  

Posted by Ahlia 'Ammar

Bismillahirrahmanirrahim

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW

Alhamdulillah, masih lagi bernyawa hingga saat ini. Masih lagi dikurniakan nikmat Iman dan Islam dalam diri. Sudah lama tidak meng‘update’ blog. Kononnya, azam baru nak update tiap hari tapi azam tinggal azam. Kata orang, hampeh! Hehe.. yang penting dalam seminggu ada jugak pengisiannya di sini. Harapnya begitulah kan.huhu.. Jadi, hari ini tertarik untuk berkongsi perihal tudung labuh. Artikel di bawah ini di‘copy paste’ dari mukabuku. Tulisan ukhti Fatimah Syarha.

Corat-coret kisah tudung labuh

“Akak, kenapa akak pakai tudung labuh?” Soalan ini sudah banyak kali dilontarkan oleh remaja kepadaku. Adik bongsuku, Asiah Yusra yang sedang mekar meniti usia remaja, turut bertanya. Melihat wajahnya yang saling tidak tumpah dengan iras wajahku, aku terasa bagaikan sedang melihat diriku sendiri. Aku pernah remaja dan terpesona melihat kakak sulung bertudung labuh. Kufahami, remaja bertanya kerana mereka sedang tercari-cari identiti diri.

Kali pertama aku memilihnya sebagai imej diri ketika usiaku remaja. Saat itu, aku bertudung labuh kerana keindahannya menghiasi wanita-wanita berakhlak mulia yang kukenali. Ibuku, kakakku, kakak-kakak naqibahku, ustazah-ustazahku semuanya bertudung labuh. Hingga aku mensinonimkan tudung labuh itu dengan keindahan, keperibadian dan kebaikan. Walaupun aku turut mengenali teman-teman bertudung labuh yang akhlaknya bermasalah namun aku masih menemui keindahan jiwanya, ingin menjadi lebih baik. Hari ini, aku memilih tudung labuh kerana aku yakin ia lebih istimewa pada pandangan-Nya.

Ketika remaja, aku hampir tidak sedar banyak pertanyaan yang terpendam. Mungkin saat itu aku tidak tahu apa yang aku perlu tahu. Hinggalah persoalanku terjawab satu demi satu. Hikmah bicara kakak-kakak naqibahku menerangkan pelbagai soalan yang kutagihkan pengertian. Yang paling kuingati, Kak Siti Aisyah Mohd Nor (kini merupakan bidadari kepada seorang tokoh agama terkenal). Jasa kalian selamanya harum dalam ingatan.

Yang Tertutup Itu Indah

Ketika kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima, “Yang tertutup itu indah!” Jawapan yang membawaku mengkaji surah al-Ahzab ayat 59, maksud dan tafsirannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.’”

Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit bukuku yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit bukuku yang tidak bersampul. Kuperhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap. Kuperhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah! Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan menggariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan yang sakit.

Istimewa Bertudung Labuh

Di sini, aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.

Dikejar Tebuan Tanah

Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan.

Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.

Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.

Terlindung daripada Mata Mat Rempit

Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah.

Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.

Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku.

Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.

Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal.

Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.

“Di mana?” Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada.

Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.

Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali!

Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!

Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut

Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata.

Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.

Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, “Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak.” Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?

Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh

Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan.

Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.

Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya.

Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.

Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat

Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, “Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik.” “Tudung tak labuh pun masih tutup aurat.” “Don’t judge people by its cover.” Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.

Nota: Artikel disalin dari facebook Ust. Zahazan Mohamed.

Yang meng‘copy paste’

Ummu ‘Iffah

Israel akan musnah pada 2022M/1443H?  

Posted by Ahlia 'Ammar in

HAIKAL adalah sebuah tempat ibadat yang dibina oleh Nabi Sulaiman AS untuk bermunajat kepada Allah SWT di samping istananya yang hebat pada ketika itu. Buku sejarah Lubnan menyebut mengenai pembinaan itu dengan bantuan masyarakat kaum Kan’an (penduduk Baitulmaqdis ketika itu). Ada yang mengatakan bahawa ia hanya sebuah mihrab (tempat munajat) yang mempunyai kedalaman sepuluh hasta dan lebar di kiri dan kanan hanya lima hasta. Sejarah tidak dapat memastikan tempat dan bentuk yang tepat bagi haikal itu. Seorang paderi Kristian (Bost Gorge) di dalam kitabnya menyebut bahawa ia terletak di pintu masuk Bandar Khalil (Baitulmaqdis) yang disebut dengan nama ‘Mihrab Daud’. Apa yang jelas ialah tempat yang menjadi tapak haikal itu, bukan di bawah binaan Masjid Al-Aqsa sekarang seperti dakwaan orang Yahudi. Dakwaan orang Yahudi adalah palsu berdasarkan fakta di bawah: Sebenarnya tiada satu kesan walaupun sebuah binaan kecil yang menunjukkan bahawa Nabi Sulaiman pernah membina haikal di tapak Masjid Al-Aqsa. Semuanya musnah selepas serangan Raja Babylon (Bokhtansar) pada tahun 589 sebelum kelahiran Nabi Isa AS iaitu 300 tahun selepas kewafatan Nabi Sulaiman AS. Peristiwa Israk dan Mikraj adalah janji Allah SWT yang menunjukkan bahawa Islam sudah sampai ke sana dan al-Quran sendiri menyebut masjid bukannya haikal. (Masjidul Aqsa). Nabi Ibrahim juga beragama Islam seperti yang jelaskan oleh Allah SWT di dalam surah Al-Imran ayat 67 bermaksud: “Tidaklah Ibrahim itu Yahudi atau Nasrani, tetapi adalah seorang Islam”. Al-Quran mula dikumpulkan pada tahun 12 Hijrah ketika pemerintahan Saidina Abu Bakar RA dan Kitab Taurat orang Yahudi hanya ditulis selepas 800 tahun kewafatan Nabi Musa AS. Ini menunjukkan bahawa Taurat amat terdedah kepada penyelewengan dan penipuan. Kesimpulannya, orang Yahudi tidak boleh mendakwa bahawa bumi Palestin dan Baitulmaqdis sebagai milik mereka kerana Nabi Ibrahim AS sudah datang ke sana sejak 1805 sebelum kelahiran Nabi Isa AS. Tujuan dakwaan berkenaan hanya untuk menghalalkan pencerobohan mereka terhadap tempat suci umat Islam itu. Mengenai kemusnahan Yahudi dan kerajaan Israel pada tahun 2022, tidak dapat dipastikan. Semuanya mengikut pendapat sesetengah pihak yang meneliti dan merumuskan bahawa tertegaknya kerajaan Israel adalah permulaan kepada kemusnahan mereka. al-Quran menerangkan mengenai berlakunya kemusnahan mereka. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan kami tetapkan terhadap Bani Israel di dalam kitab bahawa mereka akan melakukan kerosakan di atas bumi ini sebanyak dua kali dan menunjukkan sifat sombong. Maka apabila datang saat hukuman bagi kejahatan pertama, kami datangkan hamba-hamba yang perkasa, lalu mereka bermaharajalela di kampung-kampung. “Dan itulah ketetapan yang pasti terlaksana. Kemudian kami berikan kepadamu giliran untuk mengalahkan mereka, maka kami akan membantumu dengan harta dan anak-anak dalam sekala yang besar. Jika kamu berbuat baik, maka ia untuk dirimu sendiri. Begitu juga dengan kejahatan. Apabila datang saat hukuman yang kedua, maka kami bangkitkan musuhmu untuk menyuramkan wajahmu lalu mereka masuk ke dalam Masjid Aqsa sebagaimana ketika masuk kali pertama dulu dan membinasakan apa saja yang mereka kuasai.”(Surah Al-Isra’ ayat 4 – 7) Hukuman yang pertama sudah berlaku sebelum turunnya al-Quran berdasarkan ayat ke 5 bahawa mereka sudah dihancurkan oleh Babylon (Bokhtansar). (‘Itu adalah ketetapan yang pasti terlaksana’). Hukuman kedua adalah bermula tertegaknya kerajaan Israel pada 1948 kerana al-Quran menyatakan selepas kedatangan mereka secara beramai-ramai. Firman Allah SWT: “Dan setelah itu kami berfirman kepada Bani Israel. Tinggallah di negeri ini, tetapi apabila datang masa yang ditentukan, kamu akan dilumpuhkan secara beramai-ramai” (Al-Isra’ 104) Ini jelas apabila mereka semakin ramai berkumpul di sekitar kota Baitulmaqdis ketika hampir masa kemusnahan mereka. Ayat menyebut mereka akan dimusnahkan oleh tentera yang kuat. Namun demikian bilakah kemusnahan itu, tidak dapat diteka. Teori seorang pendeta Yahudi mengatakan bahawa kerajaan Yahudi Israel akan kekal selama 74 tahun juga tidak boleh dipandang remeh kerana sejak penubuhan negara haram Israel - 1948 sehingga 2022 adalah jangka hayat selama 74 tahun. Pimpinan Israel juga menganggap bahawa selepas peperangan terhadap Lubnan pada 1982 adalah tahun nikmat bagi mereka sehingga 40 tahun seperti yang dinaskan di dalam Kitab Taurat ciptaan mereka. Ini bermakna penamatnya ialah pada 2022 (1982 + 40 = 2022). (Muhammad Ibrahim Mustafa-Penganalisis mengenai masa depan kerajaan Israel). Ada juga teori kebetulan yang disebut mengenai bilangan jumlah huruf dari ayat 2 surah Isra’ hingga ayat 104 berjumlah 1443. Jika dikaitkan dengan 1443 hijrah, maka ia bersamaan 2022 masehi. Namun demikian, ia adalah teori yang tidak akan dapat dicapai sekiranya umat Islam dan dunia Arab masih lagi bercakaran antara satu sama lain dan mementingkan kedudukan dunia. Bagi umat Islam, mereka mestilah yakin dengan ayat-ayat Allah SWT dan terus berusaha melaksanakan syariat Allah seterusnya melemahkan musuh Allah yang utama di atas bumi ini. Firman Allah SWT: “Kamu akan dapati mereka yang paling benci kepada orang beriman ialah Yahudi dan mereka yang syirik dengan Allah SWT”(Surah Al-Maidah 82) Penulis ialah Eksekutif di Unit Agama NSTP dan boleh dihubungi melalui emel zaman@nstp.com.my Berita Harian, 4/6/2010 sumber: http://mimpi916.blogspot.com/2010/06/israel-akan-musnah-pada-2022m1443h.html

Semangat Palestina yang takkan pernah padam!

Followers

ღ halawatul iman ღ