Rindu T_T  

Posted by Ahlia 'Ammar



ohh.. Rindunya dekat budak tecik dua orang ni T_T




Wahai khamis, datanglah dengan cepat!




Prolog : Istikharahku Membisikkan Sesuatu  

Posted by Ahlia 'Ammar


“ Cinta hakiki milik Ilahi. Milik RasulNYA. Milik ummi abi. Tidak sesekali milik insani yang ajnabi melainkan insan yang sudah sah bergelar suami isteri..”

Prolog

Petang yang sepi, suram langit dilitupi awan mendung yang berarak perlahan.

“ Subhanallah,” ungkapan puji-pujian yang lahir tulus dari sekeping hati.

Iffah membuka jendela kamarnya seluas-luasnya. Menghayati seraya mentadabbur keindahan alam ciptaan Allah sememangnya sudah menjadi hobi gadis ini. Sambil menghayati, boleh berzikir sekali.

Menghadap pohon cermai yang tumbuh elok di hadapan jendela kamarnya, Iffah tanpa jemu mengungkap tasbih, takbir memuji Sang Pencipta. Segala puji-pujian selayaknya harus dikembalikan kepada Allah, yang mentadbir alam dengan cantik sekali.

Sesekali fikiran Iffah jauh menerewang. Terkadang ada masalah sengaja mengasak masuk ke dalam mindanya saat itu. Seperti mahu mengganggu dirinya yang begitu asyik dengan zikrullah.

Namun hanya yang satu itu asyik berlegar-legar di ruangan fikirannya semenjak beberapa hari yang lepas. Kerap sekali ia datang mengganggu. Menambah runsing di benaknya. Iffah mengeluh berat. Segera dia beristighfar. Memohon perlindungan dari Allah yang Maha Mengetahui segala rahsia hatinya.

Dia bangun lalu mencapai tuala hijaunya lantas berlalu menuju ke bilik air. Ingin ditenangkan dirinya buat sementara. Mengusir pergi galau yang menguasai hatinya. Risau andai bayangan itu adalah jerat Syaitan yang mahu dia leka dengan mainan cinta yang boleh membinasakan imannya. Na’uzubillahi min zalik..

Fathi! Nama itu seringkali bermain-main di benaknya walaupun masih belum ada jawapan yang pasti. Sudah penat ditepisnya. Sudah letih dihalau pergi. Namun, nama itu tetap berkeras untuk menghuni ruang hatinya. Siapakah gerangannya pemilik nama tersebut? Iffah langsung tidak mengenali apatah lagi bertemu dua mata dengan pemilik nama itu. Namun, kebelakangan ini, nama itu sering singgah di fikirannya. Syaitan dengan kerap memasang perangkap agar Iffah hanyut. Andai pelbagai cara sudah dicuba untuk menarik Iffah dari jalan kebenaran namun tetap gagal merobohkan tembok iman gadis itu, dicuba pula jalan yang halus ini.


Iffah masih belum lagi ketemu jawapan kepada istikharahnya. Belum ada tanda-tanda istikharahnya itu membisikkan sesuatu yang pasti. Namun, Iffah akan terus bersabar menanti hadirnya ilham hati, jawapan kepada persoalan hatinya, kerana sesungguhnya istikharah itu sendiri adalah tuntutan Nabi S.A.W. 

Masih segar dalam ingatannya kunjungan bermakna Ustazah Sabariah yang merangkap murobbiahnya tempoh hari.

“ Macam mana Iffah? Ustazah hanya menjalankan tugas,” suatu hari Ustazah Sabariah datang bertamu ke kamar asramanya.

Iffah diam membisu. Kepalanya ditundukkan memandang lantai. Matanya memandang sepi permaidani yang terhampar indah di ruang kamarnya. Jiwanya bergetar hebat. Sungguh, dia tidak menjangkakan kunjungan itu mempunyai makna disebaliknya. Disangkanya murobbiahnya itu hanya sekadar ingin menziarahi anak-anak buah usrahnya yang tiap seorangnya ditaklif untuk menjadi naqibah kepada usrah yang dipegang masing-masing. Rasa terkejutnya jelas tidak dapat disembunyikan. Riak wajahnya menunjukkan dirinya tidak senang dengan situasi begitu.

“ Allahuakbar..” hanya keluhan kecil itu yang mampu terkeluar daripada mulutnya. Pandangannya masih menghala ke bawah. Tidak mampu rasanya untuk bertentangan mata dengan murobbi kesayangannya itu.
Ustazah Sabariah tersenyum. Mengerti galau yang melanda jiwa gadis itu.

“ Orangnya bukan pelajar di sini. Dia belajar agama di Kelantan. Mungkin akan berangkat ke Sana’a, Yaman kelak untuk menyambung pelajaran. Dia meminta bantuan suami ustazah yang mengajar di Kelantan sana untuk merisik sesiapa sahaja untuk dijadikan zaujah(isteri). Orang pertama yang terlintas di fikiran Usatazah adalah kamu, Iffah. Ustazah rasa kamu antara yang sesuai,” Ustazah Sabariah menambah. Menanti  andai ada butir seterusnya yang bakal lahir dari mulut Iffah.

Iffah terkejut. Jelas sekali kerutan di wajahnya yang resah dengan apa yang dikatakan murobbiahnya itu.

“ Subhanallah uztazah.. Ana tidak tahu nak jawab macam mana ustazah. Ana tidak pernah terfikir tentang hal ini lagi. Jauh dari perancangan hidup ana. Lagipun…usia ana masih mentah untuk menyandang jawatan sebagai seorang isteri ,” Iffah meluahkan dengan hikmah.

Ustazah Sabariah terangguk-angguk. Mungkin sudah memahami maksud Iffah.

“ Jadi kamu belum bersedia lah ya? Nanti ustazah beritahu ustaz supaya sampaikan kepada Fathi,” Ustazah Sabariah menepuk lembut bahunya. Tersenyum indah.

 Jadi Fathi adalah namanya. Fathi berasal daripada perkataan arab Fath yang membawa maksud ‘buka’. Adakah dia pemilik kunci yang akan membuka pintu hatiku yang tertutup kemas ini? Adakah dia orangnya yang bakal menjadi imam hidupku? Adakah dia orangnya yang bakal memimpinku menelurusi kembaraan hidup dalam menuju Rabbku? Adakah dia?bicara hati kecil Iffah.

“ Iffah…” Ustazah Sabariah memandangnya. Pandangan seorang ibu. Iffah tenang dengan pandangan itu.

“  Ya ustazah,” Iffah tersenyum. Kurang manis sedikit. Barangkali masih dalam keadaan terkejut.

“ Jadi keputusan kamu muktamad?” Ustazah Sabariah menyoal sekali lagi. Mungkin meminta kepastian. Moga-moga ada peluang baginya untuk mendapat persetujuan daripada iffah. Dia berharap dengan sangat.
Iffah diam lagi. Mindanya ligat berfikir. Dia pasti jawapan yang bakal diluahkannya itu adalah jawapan dari hati suci yang dipandu Ilahi bukan dari kata hati berbaur nafsu.

“ Ustazah…” bicara iffah terhenti seketika. Dia menarik nafas panjang lantas dihembusnya perlahan.
Ustazah Sabariah sabar menanti.

“ Sampaikan kepadanya, biar siapa pun dia, ana minta maaf, buat masa ni, ana terpaksa menolak dahulu. Sebenarnya, perancangan membina baitul muslim masih jauh daripada perencanaan hidup ana, ustazah. Ana pasti, orangnya hebat. Kalau tidak, masakan dia tahu akan batas hukum pergaulan antara ajnabi dan meminta dengan sendiri untuk dicarikan zaujah buat dirinya bukan mencari dengan sendiri. Malah, ana pasti dia tidak memandang kecantikan dan sebagainya, ana pasti dia seorang yang tawaddhu’ dan redha andai bakal zaujahnya sederhana saja orangnya. Orang yang hebat memerlukan sayap kiri yang hebat juga untuk membantunya dalam urusan dakwah. Ana tidak layak untuknya. Pasti ada lebih ramai akhawat yang sepadan dengannya. Ana yakin mereka jauh lebih layak daripada ana yang baru saja mengenali makna hidup sebenar, tujuan penciptaan kita ini. Lagipun ustazah, ana anak sulung. Ana merasakan tanggungjawab ana pada keluarga menjadi awlawiyyat kepada ana buat masa ini. Jadi, ana minta ustazah sampaikan kepadanya, cinta ana kelak adalah milik zauj ana yang sah. Jika dia adalah jodoh ana, ana pasti Allah akan pertemukan kami juga akhirnya untuk ana menjadi pembantunya dalam berjuang. Mintalah dia beristikharah terlebih dahulu. Selebihnya ana hanya berserah kepada Allah. Buat masa sekarang, ana terpaksa menolak ustazah. Mungkin ada calon yang lain yang ustazah rasakan layak untuk dia,” panjang lebar hujah penolakan dari Iffah.

Ustazah Sabariah tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu Iffah lembut. Terharu dengan ketegasan yang dimiliki anak usrahnya itu.

“ Iffah, ustazah sangat kagum dengan sifat tegas yang ada dalam diri dan jiwa mujahidah ni, susah nak jumpa serikandi Islam yang hebat macam Iffah ni, ustazah tahu sebab ustazah dah lama kenal Iffah,” ujar Ustazah Sabariah sambil tersenyum.

“ Tapi..ustazah sarankan Iffah beristikharah terlebih dahulu. Itulah sebaik-baik jalan agar keputusan yang Iffah buat ni adalah satu keputusan yang dipandu Allah. Iffah istikharah dulu ya?” Ustazah Sabariah menyentuh lembut jemari Iffah.

Agak lama Iffah terdiam. Wajahnya yang tenang itu ditatap dengan penuh kasih sayang oleh Ustazah Sabariah yang sudah lama menganggapnya sebagai puteri kandung sendiri. Menanti jawapan Iffah.

Terasa agak kekok apabila kali ini tujuan kedatangan Ustazah adalah menyampaikan hajat murni seseorang. Selalunya Iffah akan kepoh berbicara tanpa segan silu dengan Ustazahnya kerana sudah dianggap sebagai ibu sendiri. Namun, apabila berbicara soal jodoh, Iffah jadi malu. Segan kerana dia jarang membicarakan soal ini dengan sesiapa pun bahkan dengan umminya di rumah walaupun mereka amat rapat.

“ Khair, inshaAllah ustazah…” lambat-lambat Iffah berbicara. Setuju walaupun hatinya amat berat sekali. Kalau diikutkan kata hatinya, mahu saja dia mengelak terus daripada soal jodoh ini kerana baginya dia belum bersedia untuk membahagikan cintanya kepada Dia untuk makhlukNya. Iffah belum bersedia untuk itu walaupun dia tahu dia tidak mampu untuk mengelaknya untuk selama-lamanya. Meskipun begitu, Iffah masih menghormati saranan murobbiah kesayangannya itu. 

“ Alhamdulillah,” Ustazah Sabariah membawa Iffah ke pelukannya. Memanjat syukur ke hadrat Ilahi. Moga-moga di dalam istikharah Iffah akan ketemu jawapan yang pasti. Daripada cerita yang didengar dari suaminya, Ustazah Sabariah cukup berkenan sangat dengan Fathi. Elok budinya, indah pekertinya. Amat cocok andai digandingkan dengan anak buahnya Iffah. Semoga pasangan ini akan memperhebatkan usaha dakwah, merancakkan agenda tarbiyyah. Tinggi sungguh harapan Ustazah Sabariah.

Dalam diam, Iffah cuba menahan agar air matanya tidak tumpah. Namun, gagal. Iffah mengesat butir-butir hangat yang mulai jatuh ke pipinya. Inilah antara keputusan paling berat yang perlu dibuat. Keputusan yang bakal menentukan perjalanan hidupnya hingga ke perhentian yang abadi. Keputusan yang memaksa air matanya untuk tumpah lagi buat kesekian kalinya.

Allah, Allah, Allah... Moga-moga diriku terlindung daripada jerat Syaitan yang tidak putus-putus memasang perangkap untuk sekalian anak Adam. Jauhkan aku daripada jerat cinta nafsu  ya Allah.. Moga jawapan istikharahku kelak akan membisikkan sesuatu.. Rintih iffah dalam sendunya.

“Kita merancang, Dia juga merancang namun perancanganNya jualah sebaik-baik perancangan. InshaAllah, moga yang terbaik untuk Iffah,” Ustazah Sabariah mengeratkan lagi pelukannya. Memahami jiwa suci yang belum pernah disentuh oleh cinta makluk melainkan cinta kepada Rabb yang Maha Agung, yang selayaknya menjadi buruan semua makhluk yang ingin bercinta!

 “ Sesiapa yang jatuh cinta, kemudian menyembunyikannya hingga kematian datang menjemputnya, maka dia adalah seorang yang syahid.” (Riwayat Hakim, Ibn Asakir, al-Dailami, dan lain-lain)




*bersambung...

Perkongsian : Kahwin Sewaktu Belajar  

Posted by Ahlia 'Ammar

Bismillahi manittaba’al huda


Alhamdulillah, masuk sudah hari ke 5 Ramadhan. Kejap aje kan waktu berlalu? Rasa macam baru semalam aje puasa yang tahun lepas punya. Teringat lagi ifthar dengan kawan-kawan. Ifthar ramai-ramai di padang Masjid Negeri. Masa berlari terlalu pantas hingga kita sendiri tidak terkejar waktu yang berlalu pergi. Tanda akhir zaman yang kian hampir.


Malam ni terasa nak menulis pulak. Memandangkan dah beberapa hari jemari saya berpuasa maka hari ni kena exercise sikit la. Hehe.


Tajuk paling hangat dan best sekali dikalangan remaja tak lain tak bukan kahwin la kan? Ke ada topic lain yang lebih menarik? :P Kalau kat facebook, asal ada post pasal kahwin aje, mesti ramai yang like kan? Siap ada group Baitul Muslim, Baitul Haraki, ‘Kami Nak Kawin Awal’ dan macam-macam lagi. Saya pun join jugak group-group tu sebenarnya. Hihi :P Sekadar nak cedok ilmu yang sememangnya teramatlah sikit ni. T_T


Lepas dah kawin ni, banyak sangat soalan-soalan hot yang diajukan sahabat-sahabat. Macam-macam ada. Dari se‘surface’2 soalan hingga ke se‘detail’2 soalan. :P Jadi, saya simpulkan ramai yang berminat nak kahwin awal specifically kawin waktu belajar. Ke ada yang tak ada perasaan langsung bila cakap pasal kawin ni? Pelik tu pelik tu :P


Memandangkan ramai yang bertanyakan soalan-soalan berkaitan kahwin yang lebih kurang sama, makanya saya merajinkan diri untuk menulis entri ni :P Walaupun entri atau artikel pasal kahwin ni banyak lah sangat-sangat, dari yang simple hingga yang berat sikit, google aje terus dapat, tapi saya nak tulis jugak. Hihi.. Sekadar pandangan saya sahaja ni. Seorang isteri yang baru 4 bulan menjengah ke dunia baru, alam yang semua orang impikan. Jadi, teramatlah banyak kekurangan pada diri saya dalam menulis entri ini. Minta maaf awal-awal ni kalau ada tersalah fakta atau pandangan dan sebagainya :)




Macam mana nak tahu yang si dia tu memang betul-betul jodoh kita?


Hmm.. susah nak jawab ni. Kalau tanya para agamawan, mesti ada dalil dan hujah yang konkrit dan meyakinkan berdasarkan ayatul Quran dan Hadith Nabi. Tapi kalau tanya saya, makanya saya jawab ikut suka hati lah :P


Orang selalu cakap, sebelum buat keputusan sesuatu tu istikharah lah. Jangan ada yang salah faham ye tentang konsep istikharah ni. Istikharah bukan setakat untuk meminta petunjuk tentang urusan jodoh malah urusan lain yang memerlukan kita membuat pilihan juga dituntut untuk kita melakukan istikharah. Lepas tu, orang cakap kalau dia wujud dalam mimpi kita tu, maknanya ada jodohlah tu. Hehe. Sebenarnya konsep istikharah adalah kita meminta petunjuk dan bimbingan dari Allah untuk membuat sesuatu keputusan. Tidak semestinya Allah akan berkomunikasi dengan kita secara direct contohnya melalui mimpi. Kadang-kadang Allah hadirkan rasa tenang dalam hati kita dengan keputusan yang kita buat. Contohnya, kita berasa yakin dan sedikit pun tidak terdetik dalam hati kita untuk menolak si dia. Sekiranya ada rasa bolak-balik, maka perlu bersabar untuk suatu waktu sehingga kita betul-betul yakin bahawa si dia bukan jodoh kita, agar jawapan yang  terlahir itu dari hati yang redha, bukannya dari akal yang pendek dan terburu-buru.


Terasa macam berat lah pulak kan? Hehe.. Sebenarnya, susah nak tahu adakah si dia tu jodoh kita. Perihal siapa jodoh kita adalah rahsia Allah. Istimewa untuk makhluknya. Berdasarkan pengalaman sendiri, saya hanya mengikut kata hati yang yakin akan dia (sekarang zauj lah :P) adalah jodoh saya. Tiada mimpi. Hanya yakin dengan kata hati. Yakin dengan seyakinnya. Tanpa ada rasa ragu. ;)


Dan satu lagi, jodoh ni sebenarnya tak perlulah kita mencarinya. Si solehah mencari yang soleh dan si soleh mencari yang solehah. Sebab? Jodoh tu akan datang dengan sendirinya. Seperti kematian yang kita tidak tahu bila dan di mana, begitulah juga perihal jodoh yang kita tidak tahu bila dan siapa. Tiba waktu yang dijanjikan oleh Allah bahawa sudah sampai urusan jodohmu untuk disempurnakan, maka akan berlakulah ia. Sesungguhnya janji Allah itu benar dan pasti. Tanamkan dalam hati masing-masing yakin dengan janji Allah. Yakin, yakin dan yakin. Dan hari bahagia yang ditunggu itu akan tiba. Cuma kalian perlu bersabar. Sabar kan cantik. ^____^


Macam mana nak minta izin daripada mak ayah nak kahwin waktu belajar?


Ehemm.. Kalau tak silap, dekat facebook, ada satu surat contoh tu nak mintak izin kahwin daripada mak ayah. Edit sikit dan print aje lah surat tu dan bagi ke parent. Habis cerita. Hihi. Alahai, bahagialah hidup kalau semudah tu kan? :P


Tentangan dari ibu bapa merupakan halangan utama bagi mereka yang nak kahwin awal. Harus diingat di sini, ibu bapa menghalang tu ada sebabnya. Bukan saja suka-suka nak halang, ye dok? :P Mungkin parent merasakan bahawa anaknya itu masih belum matang untuk menguruskan hidupnya dengan baik apatah lagi setelah berkahwin kelak. Maka, disini perlulah menjadi matang untuk membuktikan kepada parent yang kalian sudah layak berkahwin. Kalau cuti sem, di rumah tu, yang perempuan tu rajin-rajinlah masuk dapur ye. Yang lelaki tu rajin-rajinlah tolong ayah buat kerja-kerja berat luar rumah. Salah satu cara nak nampak matang :D


Mungkin juga sebab faktor parent risau pelajaran akan terganggu bila dah kahwin nanti. Jadi, apa solusinya ye? ;)


Pengalaman sendiri, perlu banyak berdoa pada Allah. Kepada siapa lagi kita nak minta dilembutkan hati parent kita melainkan Dia. Kalaulah ada ubat yang dapat melembutkan hati dijual di farmasi, mau untung besar lah farmasi tu kan? Hehe.. Allah lah yang memegang hati-hati manusia, maka hanya Allah lah yang mampu melembutkan hati-hati manusia. Dan disini perlu adanya sifat kesabaran yang amat tinggi. Bersabar menanti Allah makbulkan doa kita. Allah akan uji kita dahulu sehinggalah Allah rasa kita sudah layak. Sabarlah walaupun setahun, dua tahun, 10 tahun kerana sepanjang tempoh itu Allah sedang mendidik diri kita supaya matang dan bersedia menerima tanggungjawab yang berat kelak. Jangan pernah berhenti berdoa. Kerana doa itu sendiri adalah senjata kita. Mohon lah agar dipermudahkan urusan jodoh dan mohonlah agar dibukakan hati kedua ibu bapa untuk memberi keizinan. Kemudian bersabarlah. Dan lihatlah hasilnya. Allah tidak akan menghampakan hambaNYA :)


Macam mana dengan study lepas kahwin?


Kena berhenti belajar ke lepas dah kawin ni? Iye lah kan, nak focus pada suami lagi, study lagi, anak lagi [kalau ada anak lah.hehe] Sebenarnya kahwin ni langsung tak beri kesan negative kepada study. Ni jawapan jujur sejujurnya ni. Bukan jawapan nak bagi sedap hati ye :P Malah, ianya akan memberi kesan posotif. Sebab? Pertama sekali, hati kita akan tenang bila selesai sudah urusan fitrah. Selesai sudah separah dari urusan agama, maka tumpuan seterusnya mestilah yang separuh lagi kan? :) Antara yang termasuk di dalam yang separuh lagi tu adalah study lah.


Bila hati sudah tenang, bila hati sudah lagi tidak terlibat dengan perkara dosa [cth : rindu pada si dia yg belum  halal, dll] maka secara automatiknya akan mudahlah kita untuk focus kepada benda lain seperti study. Dah tak perlu nak rindu, sms, calling. Sebab? Si dia dah ada di sebelah. Siap study sama-sama lagi. Hihi :P Kesan lain, sudah semestinya kita akan berusaha dengan sungguh agar pointer mantoppp ;) Ye lah kan, kena la tunjuk pada pasangan kita yang kita ni makin hebat lepas dah kawin. Salah satu cara nak tunjuk hebat depan pasangan. Hihi.. Dan yang pastinya, kita kahwin dengan izin ibu bapa, semestinya kita nak buktikan kepada ibu bapa kita yang study kita tak drop walaupun dah kahwin. Ingat senang ke mak bapa nak bagi anak kahwin waktu belajar ni? Hihi.. Jadi, hargailah jasa ibu bapa anda yang memberi keizinan kepada anda untuk berkahwin awal. Saya tahu ni sebab inilah pengalaman majority yang berkahwin awal ;)


Tentang pengurusan masa lepas kahwin, perlu makin effisyen [betul ke ejaannya gini?] Harus pandai bahagi masa dengan betul dan sempurna. Kalau yang rajin tu boleh lah buat jadual, tulis siap-siap pembahagian waktu untuk study, untuk keluarga dan sebagainya. Tapi saya ni malas, jadi ikut suka hati aje lah nak susun waktu walaupun tunggang langgang. Dan zauj pun tak kisah sebab dia pun dua kali lima jugak. Hihihi :P Cuma perlu pastikan waktu anda untuk sesuatu itu mencukupi dan bermanfaat. Penting ni pengurusan masa lepas dah kahwin ni ;)


Macam mana kalau pregnant waktu belajar?


Hmm.. yang ni bergantung kepada pasangan tersebut lah. Samada sudah bersedia atau tidak untuk menerima kehadiran orang baru. Kalau masih belum bersedia, rancanglah dengan baik. Sekarang kan ada banyak teknik nak mengelak kehamilan. Macam-macam teknik ada. Pilihlah yang mana berkenan di hati ye :P Sekiranya tak berhasil malah membuahkan ‘hasil’, maka disini perlunya ada syukur dalam diri. Bersyukur dengan anugerah yang Allah beri walaupun hati rasa macam berat aje. Cuba kita fikir, Allah bagi hadiah yang sangat istimewa kat kita tu, takkan kita nak tolak macam tu aje kan? Mana tahu, anak itulah yang akan menjadi aset akhirat kita kelak? Yang akan menarik kita yang hampir terjerumus ke dalam neraka, masuk ke dalam Syurga. Yang akan sentiasa mendoakan kita tika kita sudah tiada. Satu-satunya anak soleh yang dikurniakanNYA.


Pernah dengar suatu kisah, tak tahulah kisah benar atau sekadar kisah untuk memberi pengajaran. Sepasang suami isteri yang sudah punyai 2 orang anak. Alkisah Allah hadiahkan lagi seorang. Maka keduanya pun merungut tak suka dan tak bersedia dan mereka merasakan lebih baik kalau tak ada anak. Mungkin sabab factor ekonomi.  Maka, Allah menarik semua anak mereka. Si isteri keguguran dan dua anak lagi meninggal akibat accident. Allah tarik semua. [tak ingat sangat dah kisah ni, ingat2 lupa aje]. Jadi, bersyukurlah andai Allah bagi hadiah special tu. Bukan senang nak dapat tu :) Ada orang, yang bertahun-tahun berubat, namun belum dikurniakan anak, yang dikurniakan tanpa rela tu, bersyukurlah ye. Sebab anda bertuah :)


Kalau yang sudah bersedia, teruskanlah ye. Saya amat sokong! :) Sebab saya lihat kawan-kawan yang sudah mempunyai anak langsung tidak mengalami sebarang masalah dalam study mereka. Ini adalah pengalaman yang sebenar. Bukan tokok tambah ye. Semua ini adalah kuasa Allah. Andai kita yakin dengan bantuan Allah, maka Allah akan tolong kita dengan penuh kasih sayang. Yakinlah!:)


Macam mana dengan ekonomi selepas kahwin?


Antara sebab utama orang takut nak kahwin sebab tak ada duit lah, nanti nak tanggung anak dara orang macam mana kan? Hihi.. Yang ni untuk lelaki lah :P


Kata Abdullah bin Mas'ud r.a: "Carilah Kekayaan itu dalam Pernikahan" [Tafsir Ibn Katsir, 6/51]


Kalau kahwin tu akan jadi kaya ke? Hehe.. Orang cakap lepas kahwin ni akan murah rezeki. Memang betul pun. Tapi tu tak bermakna kita kena tunggu orang bagi bantuan dekat kita ye. Kita juga perlu berusaha sendiri mengikut alternatif sendiri untuk kewangan kita.


Pengalaman sendiri, saya dan suami masih lagi di bawah tanggungan ibu bapa masing-masing. Maksudnya, lepas dah kahwin bukanlah ayah perempuan akan lepas bulat-bulat pada si lelaki untuk tanggung anak dia. Naya lah gitu. Hehe.. Ayah saya masih lagi memberi duit belanja kepada saya. Dan ayah suami juga masih memberi duit belanja untuk suami. Ibu bapa faham bahawa anaknya belum bekerja maka secara tidak langsung anaknya masih berada di bawah tanggungannya walaupun tanggungjawab  itu sudah diserahkan tika akad terlafaz. Takkan lah mak ayah kejam sangat nak biarkan anak-anak terbiar tak berduit. Tak ada satu pun mak ayah dalam dunia ni macam tu. Semua mak ayah nak tengok anak-anaknya bahagia dan hidup senang.


Sumber ekonomi yang lain, sementara masih cuti panjang ni, suami saya melakukan banyak kerja sambilan. Takkan nak bergantung kepada mak ayah aje kan? Kena lah tunjuk kematangan diri bahawa diri sudah mampu menanggung isteri disamping mak ayah bantu sikit-sikit. Kepada para lelaki, jangan malas-malas cari kerja untuk tanggung bini ye. Kalau tak jumpa jugak kerja, cuba lah apply jadi guru ganti di Sek Islam Al-Irsyad [sekolah ayah mertua] sebab selalunya ada kekosongan. Hehe, promote pulak :P Walaupun pendapatan yang dapat tak banyak, tapi cukuplah untuk sekadar yang mampu sahaja. Oh ye, teringat ceramah Ust Azhar Idrus,  nafkah zahir yang suami wajib beri pada isteri adalah makan makanan asasi (cth: nasi) dua kali sehari dan pakaian lengkap luar dalam 2 pasang setahun. Ni wajib ye bagi para suami. Untuk yang sudah bekerjaya lah. Yang belum bekerjaya tu, isteri perlu faham akan status tersebut. Isteri perlu redha, maka akan gugurlah kewajipan tersebut. Sama-sama saling memahami. Ini sangat penting! ;) 


Dan saya, disebabkan saya mendapat bantuan biasiswa, maka saya hanya perlu bijak menggunakannya. Bila dah kahwin, tak boleh lah nak beli benda-benda yang tak penting [cth: novel :P]  macam sebelum kahwin tu. Kena pandai menggunakan wang dengan sebaik mungkin. Nak lagi senang, peruntukkan siap-siap perbelanjaan kita supaya mudah urusan dan tak terbabas menggunakannya tanpa sedar. Hehe.. Kalau yang tinggal di rumah sewa, peruntukkan siap-siap wang untuk bayar sewa bulanan. Macam saya, dua-dua duduk asing sebab belajar lain-lain tempat, jadi tak ada lah bebanan sewa rumah. Setakat ni lah. Hehe.. Penting ni pengurusan kewangan. ;)


Yang pastinya, rezeki tu sentiasa ada. Tak percaya? Kahwin lah dulu :P Rezeki tu tak pernah berkurang pun, malah ada saja jalan rezeki tu datang ke kita. Sampai kita pun tak tahu dari mana dia datang. Tup tup dah ada depan mata. Itu lah yang dinamakan rahmat Allah. Allah takkan sesekali meninggalkan hambanya itu malah meredhai dengan penuh kasih sayang dengan mengurniakan rezeki yang kita sendiri tidak tahu dari mana datangnya. Kahwin waktu belajar ni takkan buat kita jadi papa kedana pun. Percayalah :)


Penutup


Rasanya, tu aje lah kot antara soalan femes yang sering ditanya. Jadi, jawapan saya adalah berdasarkan pengalaman sendiri yang baru 4 bulan bergelar isteri. Masih sikit sangat pengalaman ni. Seciput aje. Adalah lebih baik bertanya kepada kawan-kawan yang lebih banyak pengalamannya.  Sebab jawapan saya ni jawapan ikut suka hati. Main bedal aje jawab. Hihi :P


Sekali lagi ditegaskan bahawa jangan pernah takut untuk kahwin awal. Bila dah kahwin, tak perlu lah berlagak matang macam orang dewasa. Sekadar menjadi diri kita seadanya. Remaja belia :P Saya dan suami pun masih belum matang. Tak tahulah bila nak matang.  Perangai masih lagi keanak-anakan. Kalah budak-budak sebenarnya. Hihi. Saya suka buli zauj saya. Dan dia suka tarik pipi saya sampai pipi saya kembanggg. Main kejar-kejar dalam bilik [kalau luar bilik segan pulak dekat mak ayah :P] Banyak benda yang boleh dilakukan bersama  seperti mengaji AlQuran sama-sama, sesi bertazkirah, berusarah santai dll. Seronok kahwin awal sebenarnya. Eh, ter‘promote’ pulak. Hihi.. :P


Masing-masing punyai pandangan yang berbeza tentang isu ini. Ada baik dan ada buruknya. Nilailah dengan mata hati dengan sebaik-baik penilaian. Sesungguhnya Allah maha Mengetahui baik buruk akan sesuatu hal itu. Wallahua’alam.





p/s : Ohh.. terpanjang pulak entri ni. Aasif ya kalau ada yang pening baca panjang-panjang ni :P  Harus diingati bahawa, entri ini adalah pandangan peribadi semata-mata. Sekiranya ada kritikan atau sapa2 nak tambah lagi, dialu-alukan ^____^






BintuYahya

0338 am

Baiti Jannati

Ramadhan Bulan 'Ibadah  

Posted by Ahlia 'Ammar

* Entri ini ditulis oleh suami saya, almaklum saya bukan ahl dlm ilmu hadith ni. Serahkan pada yg pakar aje. Tugas saya adalah kopipes dengan izin :p


Ramadhan. Ahlan wasahlan Ramadhan Kareem.
Carilah Bekal Akhiratmu di Bulan yang penuh Berkah!


Ramadhan's mission : putting together the pieces of taqwa!

Para pembaca rahimakumullah, semoga Allah Subhanallahu wa Ta’ala memudahkan kita semua dalam melaksanakan semua perintah-perintah-Nya, termasuk dalam menunaikan ibadah puasa Ramadhan tahun ini.

Bulan Ramadhan adalah suatu kesempatan emas bagi kaum muslimin untuk meraih berbagai pahala, kerana di bulan Ramadhan banyak ibadah yang dapat dilaksanakan disamping ibadah puasa itu sendiri.

Di sisi lain, di bulan Ramadhan kaum muslimin diberi kemudahan oleh Allah Subhanallahu wa Ta’ala untuk melaksanakan berbagai ibadah, kerana para syaitan keparat pada bulan ini dibelenggu, khususnya yang sangat derhaka. Sehingga nampak meriahnya berbagai kebaikan, dan sebaliknya kejelekan berkurang. Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Apabila Ramadhan telah tiba, maka dibukalah pintu-pintu Al Jannah (syurga), dan ditutup pintu-pintu An Nar (neraka), serta para syaitan dibelenggu.” (HR. Muslim)

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda:

“Telah datang kepada kalian Ramadhan iaitu bulan yang diberkati, pada bulan tersebut Allah mewajibkan atas kalian puasa, pada bulan tersebut dibuka pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka Jahannam serta dibelenggu para syaitan yang derhaka, di bulan ini juga Allah mempunyai satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, barangsiapa tidak mendapatkan kebaikannya maka telah diharamkan (kebaikan baginya).” (HR. An Nasa’i)

Amalan-amalan ibadah di bulan Ramadhan

Banyak ibadah yang diperintahkan atau dianjurkan untuk dilaksanakan di bulan Ramadhan. Di antara ibadah-ibadah tersebut adalah:

1. Shaum (puasa)

Puasa adalah salah satu rukun dari rukun-rukun Islam. Sehingga tidak sepatutnya seorang muslim melalaikan apalagi meninggalkannya.

Puasa juga mengandungi sekian keutamaan bagi siapa yang melaksanakannya dengan ikhlas dan sesuai dengan tuntunan Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam. Dia juga seharusnya teliti dalam meneladani syarat-syarat dan adab-adabnya.

Di antara keutamaan puasa adalah:

1. Sebagai sebab diampuninya dosa yang telah lalu.

Hal ini sebagaimana telah disabdakan oleh Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala hanya dari Allah, maka diampuni dosanya yang telah lalu.” (HR. Al Bukhari dan Muslim)

2. Shaum (puasa) membentengi pelakunya dari An Nar (Neraka)

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesungguhnya Shiyam (puasa) sebagai benteng, dengannya seorang hamba dapat membentengi dirinya dari An Nar (neraka). Dia (puasa itu) untukku dan Aku yang akan membalasnya.” (HR. Ahmad no. 14727)

3. Shaum menghantar (pelakunya) ke dalam Al Jannah (Syurga)

Shahabat Abu Umamah radliyallahu ‘anhu bertanya kepada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku suatu amalan yang dengan amalan tersebut aku dapat masuk Al Jannah (surga)!” Beliau ` bersabda: “Wajib bagimu untuk berpuasa, (kerana) tidak ada yang sebanding dengannya.” (HR. An Nasa`i, Ibnu Hibban dan Al Hakim)

4. Orang yang berpuasa akan mendapat pahala dari Allah Subhanallahu wa Ta’ala tanpa hisab (perhitungan)

5. Orang yang berpuasa akan mendapat dua kebahagiaan iaitu bahagia ketika berbuka dan ketika bertemu Allah diakhirat.

6. Bau mulut orang yang berpuasa lebih baik bagi Allah Subhanallahu wa Ta’ala daripada aroma misk (kesturi)

Hal tersebut di atas sebagaimana yang dijelaskan dalam hadits Abu Hurairah radliyallahu ‘anhu, ia berkata: “Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Setiap amalan Bani Adam dilipatgandakan. Satu kebaikan dibalas dengan sepuluh kali kebaikan sampai dengan tujuh ratus kali lipat. Allah Subhanallahu wa Ta’ala berfirman: “Kecuali shaum (puasa). Maka sesungguhnya ia (puasa) untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya; dia (hamba) meninggalkan syahwat dan makannya kerana Aku. Dan bagi orang yang puasa ada dua kebahagiaan iaitu ketika berbuka dan bertemu Rabbnya. Dan sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah daripada aroma misk.” (HR. Muslim no. 1945)

7. Shaum (puasa) dan Al Qur’an memberi syafa’at (dengan izin Allah) bagi pelakunya

Sebagaimana yang disabdakan Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Shiyam (puasa) dan Al Qur`an keduanya memberi syafa’at bagi hamba pada hari kiamat. Shaum berkata: “Wahai Rabbku aku telah mencegahnya dari makan dan syahwat di siang hari, maka izinkanlah aku memberi syafa’at padanya.’ Dan Al Qur`an berkata: “Aku telah mencegahnya dari tidur di waktu malam, maka izinkanlah aku memberi syafa’at padanya. Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam melanjutkan: “Maka keduanya (shaum dan Al Qur`an) diizinkan untuk memberi syafa’at.” (HR. Ahmad no. 6337)

8. Pintu Al Jannah (syurga) “Ar Rayyan” dikhususkan bagi orang-orang yang berpuasa.

Termasuk salah satu keutamaan shaum (puasa) Ramadhan, Allah Subhanallahu wa Ta’ala jadikan bagi mereka yang berpuasa pintu khusus untuk mereka di Al Jannah (syurga) yang diberi nama Ar Rayyan. Hal ini sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam dalam hadits yang diriwayatkan dari shahabat Sahl bin Sa’d radliyallahu ‘anhu, beliau ` bersabda:

“Sesungguhnya di Al Jannah (syurga) ada sebuah pintu yang disebut Ar Rayyan. Pada hari kiamat kelak orang-orang yang berpuasa akan memasuki Al Jannah melalui pintu ini. Tidak seorang pun selain mereka masuk melalui pintu ini. Dikatakan (kepada mereka): ‘Di mana orang-orang yang berpuasa?’, maka mereka bangkit (dan masuk). Tidak seorang pun selain mereka masuk melalui pintu ini. Ketika mereka telah memasukinya, ditutuplah pintu tersebut, maka tidak seorang pun dapat memasukinya.” (HR. Al Bukhari no. 1763 dan Muslim no. 1947)


2. Solat Tarawih

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Barangsiapa menegakkan solat (Tarawih) di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala hanya dari Allah, maka diampuni dosanya yang telah lalu.” (HR. Al Bukhari dan Muslim)

Dan yang lebih utama, shalat tarawih dilaksanakan secara berjamaah menurut majoriti ulama, seperti Al Imam Asy Syafi’i, Al Imam Abu Hanifah, Al Imam Ahmad, sebahagian ulama Malikiyah, dan yang lainnya. (Lihat Syarah Shahih Muslim).

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesungguhnya barangsiapa mendirikan solat bersama imam (secara berjamaah) hingga selesai ditulis baginya seperti solat semalam suntuk.” (HR. At Tirmidzi)

3. Qira’atul Qur’an (membaca Al Qur’an)

Hendaknya orang yang sedang menunaikan ibadah puasa menyibukkan dirinya dengan ibadah-ibadah yang lainnya, seperti dzikir, qira’atul Qur’an, sadaqah, dan berbuat baik kepada orang lain. Demikianlah yang dicontohkan oleh junjungan kita Nabi Muhammad Shalallahu ‘alaihi wa Sallam, sebagaimana dikisahkan oleh Ibnu ‘Abbas radliyallahu ‘anhuma:

“Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam adalah manusia yang paling bersemangat terhadap kebaikan. Dan (beliau Shalallahu ‘alaihi wa Sallam) lebih bersemangat ketika Malaikat Jibril ‘alaihissalam datang menemuinya di bulan Ramadhan. Dan Malaikat Jibril ‘alaihissalam biasa menemui beliau Shalallahu ‘alaihi wa Sallam di setiap malam selama bulan Ramadhan hingga akhir bulan. Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam membacakan kepadanya Al Qur`an. Maka ketika Jibril ‘alaihissalam menemuinya, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam lebih bersemangat terhadap kebaikan (lebih kencang) daripada angin yang berhembus.” (HR. Al Bukhari no. 1769)

Bulan Ramadhan disebut juga Syahrul Qur’an (bulan Al Qur’an), kerana di bulan tersebut Al Qur’an diturunkan. Maka perbanyaklah membaca Al Qur’an sambil merenungi kandungannya, serta tanamkan di hati bahawa dirinya sedang membaca Kalamullah (firman Allah Subhanallahu wa Ta’ala).

4. Memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa

Kaum muslimin rahimakumullah, seorang muslim yang diberi keutamaan oleh Allah Subhanallahu wa Ta’ala dari sisi rezeki hendaklah memanfaatkan kesempatan yang baik ini untuk membantu saudaranya yang kekurangan, walaupun sekadar memberi makanan berbuka untuk mereka, kerana keutamaan memberi makanan berbuka orang yang berpuasa sangat besar nilainya di sisi Allah Subhanallahu wa Ta’ala. Sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Barangsiapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut.” (HR. At Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Semoga Allah Subhanallahu wa Ta’ala menerima amalan-amalan kita dan mengampuni dosa-dosa kita semua. Amin Ya Mujibas Sailin.

Wallahu A’lam Bishshawab

Semangat Palestina yang takkan pernah padam!

Followers

ღ halawatul iman ღ