Muhasabah An-Nafs  

Posted by Ahlia 'Ammar

Bismillahi walhamdulillah..

Melangkah ke malam 2 syawal. Alhamdulillah, Allah masih izinkan jantung berdegup seiring langkahan seorang musafirah di dunia sementara. Ramadhan sudah jauh meninggalkan kita. Terkapai-kapai diri termanggu berfikir dan mentafsir. Lalu lahirlah bait-bait kata menerusi tarian jari jemari melahirkan segala bungkam jiwa seorang hamba. Allahuakbar..Allahuakbar..Allahuakbar wa lillah hilhamd..

Menyorot kembali peristiwa sebulan yang lepas. Subhanallah! Berkobar-kobar pasang niat nak berubah menjadi lebih baik Ramadhan ni. Nak buat itu dan ini. Nak tambah itu dan ini. Nak itu nak ini. Bermacam niat yang Alhamdulillah semuanya baik-baik dipasang. Moga niat itu turut mendapat nilaianNya. Penambah timbangan kebaikan neraca Al-Mizan kelak. InshaALLAH.

Muhasabah diri kembali. Setelah berlalunya proses tarbiyyah sepanjang sebulan di madrasah Ramadhan Al-Kareem, adakah diri sudah benar-benar berubah kearah yang lebih baik? Sudahkah kita mampu menghela nafas lega? Amal kebaikan sudah cukup untuk menampung segala cacat cela dalam sedar mahupun tidak? Ya Allah, sungguh diri ini merasa teramat hina disisiMu. Sungguh hina. Apakah segala amal ibadah diterima atau sekadar menahan lapar dan dahaga saja. Allahu Allah..

Andai waktu itu boleh diputar kembali, terasa ingin menjengah kembali ke hari semalam. Ingin aku manfaatkan setiap detik hembusan nafasku dengan hanya mengingatiMu. Ingin aku lembutkan lidahku dengan hanya menyebut kalam suci ,ayat-ayat cintaMu. Ingin aku perdengarkan kepada telingaku bacaan indah kitab suci KalamMu pengubat duka jiwa hamba. Ingin aku ringankan setiap satu anggota jasadku pinjaman sementara dariNya ini dengan segala amal mahmudah tiap masa. Tapi semuanya itu hanyalah keinginan semata. Keinginan untuk semuanya itu berlaku tiap masa, tiap tika, tiap detik..

Ramadhan 1431H sudah berlalu. Terfikir adakah kita yang meninggalkan madrasah tarbiyyah itu ataupun dia yang meninggalkan kita. Kedua-duanya membawa pengertian yang berbeza walau kesannya adalah sama, melangkah ke Syawal. Ramadhan tidak tinggalkan kita. Dia masih ada. Dia masih di sana. Apakah kita bakal bertemu dengannya lagi? Wallahu’alam bissowab.. Segalanya terhijab di sebalik rahsia agung milikNya. Cuma proses pentarbiyyahan di situ hanyalah untuk sebulan. Betapa singkatnya tempoh yang Allah peruntukkan kepada madrasah Ramadhan untuk mendidik diri-diri kita supaya menjadi ‘abid yang taat pada Tuhannya. Allah hanya meminta masa kita sebulan saja. Sebulan itu tidak lama. Allah cuba mendidik kita sepanjang sebulan itu dengan melatih kita dengan segala macam amal mahmudah. Melatih kita supaya melawan nafsu, musuh kedua sesudah iblis la’natullah. Cuma sebulan. Dan kini, sebulan itu telah berlalu. Kembalilah kita kepada fitrah yang asal. Betapa pemergianmu dirindui ya ramadhan..

Sedarkah kita, dengan melangkah perginya ramadhan, musuh-musuh Allah yang sebelum ini terikat rapi sudah kembali bebas? Sebulan yang tenang untuk kita melakukan amal ibadah tanpa gangguan mereka. Sebulan yang damai tanpa sebarang hasutan kearah kemungkaran. Kini, mereka kembali untuk meneruskan tugasan mereka. Melunaskan segala dendam kesumat ke atas semua anak-anak Adam. Selagi anak Adam tidak turut serta menjejaki langkah mereka ke Neraka Jahannam, selagi itu mereka berusaha dengan keras menarik anak-anak Adam ke sana. Na’uzubillahi minzalik.. Semoga Allah melindungi kita semua daripada segala tipu daya hasutan mereka.

Penghujung Ramadhan, Allah hadiahkan kita dengan satu malam yang agung. Malam di mana setiap makhluk ciptaanNya sujud menyembah bumi mengakui kebesaran Allah Yang Esa. Malam di mana turunnya Kalamullah, kitab suci Al-Quran, ayat-ayat cintaNYA. Malam di mana segala percaturan hidup yang telah sedia tercatat untuk setiap yang bernyawa diturunkan ke Baitul ‘Izzah di langit dunia. Malam di mana segala persoalan hidup , mati, jodoh, rezqi pada tahun berikutnya diturunkan ke langit dunia. Subhanallah! Malam itu, terasa kelainan yang sangat. Sedari awal maghrib sudah terasa kesyahduan yang sukar diungkap dengan kata. Subhanallah. Maha Suci Allah yang mengetahui segala perkara yang terhijab di sebalik rahsia agungMu. Tidaklah kita hambaNya mampu menduga dengan hati mahupun lisan bahawa malam itu dan ini adalah malam al-Qadar. Sesungguhnya semua itu adalah rahsiaNya. Andai ditaqdirkan kita bertemu dengannya, adalah sebaiknya didiamkan sahaja. Ianya adalah hadiah Allah buat mereka yang Allah izinkan untuk bertemu dengan malam penuh barakah itu. Sesungguhnya kita tidak akan mengetahui bilakah malam al-Qadar yang sebenarnya. Kekasih agung, Nabi Muhammad SAW bersabda “ Carilah Lailatul Qadar itu di malam yang ganjil sepuluh malam terakhir..” ( lebihkurang kot..kalo salah, minta betulkan ya..^_^ ) Carilah! Bukan hanya menanti dan menduga malam itu dan ini. Kita perlu mencari. Pencarian yang disertai niat dan hati yang betul-betul inginkan pertemuan itu!

Syawal 1431H. Sambutannya tetap semeriah seperti kebiasannya. Namun, disebalik senyuman riang yang terukir bahagia, terselit kesedihan yang teramat sangat. Kekesalan yang tersembunyi jauh di dasar qalbi. Pemergiannya kali ini sangat dirasai. Apakah ini Ramadhanku yang terakhir? Wallahu’alam. Segalanya telah tercatat lengkap di Lauh MahfuzNya. Tinggal kita yang perlu bersedia. Bekal yang bakal kita bawa kelak adakah sudak mencukupi? Atau hanya lumpur-lumpur dosa yang kita bawa?

Kini, tinggal hati untuk terus bernyawa. Tinggal jiwa untuk terus istiqomah. Tinggal jasad untuk terus bekerja. Segala-galanya lillah ta’ala. Seiring kaki melangkah menginjak pertambahan usia mendekatkan diri kepada kematian yang tidak kenal siapa dan di mana ia kan tiba. Jadi, jom kita bersedia sahabat2! ^_^

Akhir kalam, taqobbalallahu minna wa minkum. Ahalallahu minna wa minkum..Salam 'eid Mubarak.. ^_^

p/s: jangan lupa doakan keGAGALan musuh-musuh Islam nak jatuhkan Islam. 11 September @ hari ini, Jones, Paderi di sebuah Gereja di AS nak lancarkan HARI MEMBAKAR AL- QURAN SEDUNIA bersempena peristiwa serangan 11 September walaupun mendapat tentangan ramai. Semoga pertolongan dan bantuan ALLAH mengiringi usaha menggagalkan kempen tersebut.

" Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan AL QURAN, dan Kamilah yang akan MEMELIHARA DAN MENJAGANYA" (AL HIJR:9)

Jua, jangan lupakan saudara-saudara seaqidah kita di Ghaza sana yang bermandikan darah-darah syuhada’ kesan letupan bom tentera Israel laknatullah pd 1 Syawal. Allahummansurnal mujahideen fi ghaza wa fi kulli makan..

Muhasabah diri,

Ummu ‘Iffah

This entry was posted at Saturday, September 11, 2010 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 nasihat dari sahabat

Post a Comment

Semangat Palestina yang takkan pernah padam!

Followers

ღ halawatul iman ღ