Jalan Pulang ke Pangkuan Tuhan  

Posted by Ahlia 'Ammar

Setiap antara kita tidak lari daripada melakukan dosa. Kita bukan maksum seperti para Nabi. Kita hanya manusia biasa yang amat lemah dalam menjaga urusan hati dan akal. Apabila keduanya tidak dipandu dengan iman, maka mudahlah kita terpaling dari jalan kebenaran.

Kadang-kadang kita sedar apa yang kita lakukan itu suatu dosa namun kita lebih menangkan nafsu.

“ Alahh, dosa kecik aje. Nanti boleh cover dengan amalan-amalan kebaikan yang lain..”

Dosa kecil apabila kita berterusan melakukannya akan menjadi dosa besar. Apatah lagi, kalau dosa yang kita lakukan itu tergolong dalam dosa-dosa besar. Bila kita tersedar dari leka yang berpanjangan itu barulah kita berusaha mencari kopiah, telekung segala bagai memohon ampun atas kesilapan lampau.

Namun, kita seharusnya bersyukur kerana Islam adalah agama yang mana jalan pulang ke pangkuan Tuhan terlalu luas. Inilah istimewanya Islam. Indahnya Islam. Namun, benarkah kita begitu menghargai nikmat Islam yang tiada tara ini?

Peluang untuk seorang insan kembali ke pangkuan keampunan dan keredhaan Allah tidak pernah disekat oleh sebarang jarak, waktu, latar diri, keturunan, atau harta. Sesiapa sahaja yang ingin pulang ke pangkuan Allah tidak pernah dilarang oleh agama ini disebabkan oleh jenis dosanya atau darah keturunan yang diwarisi atau usianya yang lanjut atau apa sahaja.

“ Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah, lalu memohon ampun dosa-dosa mereka(dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah) dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya). Orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan daripada Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan(bagi) orang yang beramal” [Ali-Imraan : 135-136]

Islam amat berbeza sekali berbanding agama lain. jika kristian memerlukan si pendosa untuk mengaku akan dosa-dosanya di hadapan paderi sekalipun paderi itu tidak melihat wajahnya agar dosa si pelaku akan terampun. Namun,  Islam amat menjaga aib umatnya.

Sekalipun si pendosa itu melakukan dosa yang amat berat sekali, Allah akan tetap melindungi aib dirinya melainkan dirinya sendiri lah yang mendedahkan aib tersebut  kepada orang ramai. Maka, saat itu dirinyalah yang memalukan diri sendiri.

Sesungguhnya rahmat Allah itu teramatlah luas. Dia Maha Pengampun. Saban waktu Allah menanti andai adanya hamba-hambaNYA yang ingin memohon ampun atas keterlanjuran dosa. Allah itu sangat baik. Allah tidak akan sekali-kali menghampakan permintaan hambaNYA. Mohonlah pengampunan daripada Allah seikhlas hati, agar segala dosa yang sudah disesali tidak akan berulang lagi. Berjanjilah dengan diri untuk menjadi hambaNYA yang beriman. Sungguh Allah amat merindui rintihan suara hambaNYA yang sentiasa memohon ampun dan maghfirah dariNYA.

“ Wahai anak-anak Adam, selagimana engkau memohon dan mengharapkan kepadaKU, Aku ampunkan engkau walau apa pun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu pohon keampunan daripadaKU, Aku ampunkan engkau, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepadaKU dengan dosa yang hampir memenuhi bumi,namun engkau menemuiKU tanpa mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku datang kepadamu dengan penuh keampunan.” [HR at-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani]




Al-faqirah ila Allah,
Ummu ‘Izzah
2120 p.m /240611
Baiti jannati

This entry was posted at Saturday, June 25, 2011 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 nasihat dari sahabat

Post a Comment

Semangat Palestina yang takkan pernah padam!

Followers

ღ halawatul iman ღ