I.K.H.T.I.L.A.T  

Posted by Ahlia 'Ammar in

[ Perhatian : Entri ini bukan bernada atau berunsur marah, kesal atau yang sewaktu dengannya. Ianya hanyalah sebuah peringatan untuk diri sendiri dan sesiapa yang membaca atau terbaca. ^_^ ]




Kamu kamu yang sedang membaca. Kisah ini suatu yang nyata. Yang berlakunya di sebuah persinggahan bernama dunia. Kenapa makhluk yang hanya dicipta sebagai hamba sanggup bertindak sebegitu rupa.

Siapa kita untuk menghukum saudara kita. Apakah Tuhan sudah menyerahkan secara rasmi tugasNYA kepada manusia hina untuk menghukum mereka mereka tidak tentu pasal.

Dia juga manusia biasa. Yang sudah pasti tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan kesalahan. Namun adakah atas sebab dirinya yang sebegitu kalian menghukum sedahsyat itu.

Kamu kata dia bersalah. Atas alasan apa kamu menghukumnya dengan sebuah hukuman bernama ‘kesalahan’.

“ Kami pulau dia atas sebab dia tidak mahu menegur kami.”
“ Dia tak pernah tegur kami walaupun kami pernah berprogram sekali. Kalau bertembung di mana-mana, seolah-olah tidak kenal padahal kami satu kelas dulu.”
“ Dia sombong!”
“ Kami kawan dia, tapi dia tidak anggap kami sebagai kawan. Nak tegur pun susah apatah lagi nak senyum kalau berjumpa di mana-mana.”

Dia yang mereka kata itu adalah seorang ikhwah dan mereka yang berkata itu adalah sekumpulan akhawat dan mungkin segelintir ikhwah.

Okey. Itu alasan yang dinyatakan. 

Atas sebab dia tidak mahu ‘bersosial’ dia dipulau.

Atas sebab dia tidak mahu bertegur sapa menanyakan khabar berita, dia dipulau.

Atas sebab dia tidak menghadiahkan sebuah senyuman tatkala berselisih, dia dipulau.

Atas sebab dia cuba menjaga batas antara kalian dan dirinya, dia dipulau.

Dan atas sebab dia melaksanakan perintah Tuhannya, dia dipulau?

Namun, mengertikah kamu atas sebab apa dia sedemikian. Kalian adalah antara yang saya kira memiliki pemahaman yang jelas tentang agama kerana kalian berada di dalam bidang berkenaan. Pasti kalian pernah belajar atau diajar tentang ikhtilat. Ikhtilat hanya dibenarkan atas beberapa sebab. Antaranya :


Pertama: Harus kerana terpaksa (dhorurah)
Ikhtilat yang berlaku kerana terpaksa seperti yang disebutkan oleh Imam Nawawi dengan katanya: Berkata ahli mazhab Syafei: Tidak ada perbezaan dalam pengharaman khulwah (berdua-duaan) sama ada dalam solat atau selainnya. Dikecualikan daripada hokum ini kedaaan-keadaan dhorurat, seperti jika seseorang lelaki ajnabi mendapati seorang wanita ajnabi bersendirian di jalan, jauh daripada kumpulan manusia tersebut jika dibimbangi keselamatannya, maka pada ketika itu wajib tanpa khilaf. Antara contoh dhorurah yang lain ialah seperti seorang lelaki ajnabi melarikan wanita dengan tujuan menyelamatkannya daripada diperkosa, jika itu adalah satu-satu jalan untuk menyelamatkan wanita tersebut.
Kedua: Harus kerana keperluan (hajat)
Ulama berkata, hajat mengambil peranan dhorurah dalam mengharuskan perkara yang haram. Di sana dicatatkan beberapa keperluan yang dianggap mengharuskan ikhtilat antara lelaki dan perempuan.
  1. Ikhtilat kerana urusan jual beli yang dibenarkan oleh syarakHarus bagi wanita bercampur dengan lelaki semasa berjual-beli, melakukan tawar-menawar, memilih barang dengan syarat tidak berlaku khulwat (berdua-duaan) dan memelihara adab-adab pergaulan.
  2. Ikhtilat kerana melakukan kerja kehakiman. Wanita harus menjadi hakim dalam perkara selain hudud di sisi Hanafiah dan dalam semua perkara di sisi az-Dzohiriah dan Imam at-Tobari. Sudah termaklum kerja sperti ini mengundang percampuran dengan kaum lelaki yang terdiri daripada pendakwa, tertuduh, saksi dan lain-lain.
  3. Ikhtilat kerana menjadi saksi. Islam mengharuskan wanita menjadi saksi dalam kes berkaitan dengan harta dan hak-haknya. Seperti dinyatakan dalam ayat akhir surah al-Baqarah. Menjadi saksi akan mendedahkan diri kepada percampuran dengan lelaki ajnabi.
  4. Ikhtilat kerana amar ma’ruf nahi munkar. Ibnu Hazmin telah menyebutkan dalam kitabnya `al-Muhalla’ bahawa Umar al-Khattab r.a. telah melantik al-Syifa’ menjadi penguatkuasa perbandaran. Sudah tentu beliau akan bercampur dengan lelaki ketika menjalankan tugasnya.
  5. Ikhtilat kerana melayan tetamu. Harus bagi wanita melayan tetamu bersama suaminya dan jika ada alasaan yang syar’ie seperti tujuan memuliakan tetamu dan sebagainya walaupun terpaksa bercampur dengan tetamu. Dalam hadis Bukhari, ada diriwayatkan bahawa Ummu Usaid melayani Rasulullah s.a.w. dengan menghidangkan makanan dan menuangkan minuman untuk baginda.
  6. Ikhtilat kerana memuliakan tetamu dan jika perlu makan bersamanya. Harus bagi wanita makan bersama tetamu kerana tujuan memuliakan tetamu atau tujuan lain yang syar’ie Muslim meriwayatkan kisah satu keluarga yang ingin memuliakan Rasulullah s.a.w dan bertamukan baginda. Oleh kerana makanan yang sedikit, mereka memadamkan api dan memperlihatkan bahawa mereka makan bersama-sama banginda. Ini bereri bahawa orang ansor dan isterinya itu duduk bersama tetamu untuk makan bersama, walaupun mereka tidak makan, kerana mengutamakan tetamu.
  7. Ikhtilat dalam kenderaan awam. Harus bagi wanita keluar rumah kerana menunaikan kerja-kerjanya yang diharuskan, walaupun terpaksa bercampur dengan lelaki ajnabi, seperti keluar untuk menziarahi dua ibu-bapanya, membeli-belah dan ke hospital, meski pun ia terpaksa menaiki kenderaan awam yang menyebabkan berlaku percampuran dengan penumpang lain dari kalangan lelaki ajnabi, dia mungkin duduk atau berdiri ditepinya. Percampuran ini diharuskan oleh keperluan yang syar’ie.
  8. Ikhtilat kerana kerja-kerja jihad. Antara contoh pergaulan sewaktu jihad ialah seperti membawa air, merawat pesakit dan seumpamanya. Semua perkara tersebut adalah harus dilakukan oleh wanita kerana maslahah syariah. Bukhari menyebut dalam sahihnya daripada Ar Rabei binti Muawwiz katanya: Kami bersama Nabi s.a.w. merawat pesakit, memberi minum dan menghantar jenazah yang terbunuh ke Madinah.
  9. Ikhtilat untuk tujuan belajar atau mendengar nasihat. Antara suasana yang diharuskan , ikhtilat dengan tujuan mengajar agama kerana Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. keluar pada satu hari raya dan sembahyang dua rakaat. Setelah selesai solat baginda berpusing mengarah wanita. Baginda menasihati mereka dan menyuruh mereka bersedekah, bersama baginda ialah Bilal.
  10. Ikhtilat dalam suasana yang telah menjadi adat kebiasaan. Tersebut dalarn kitab Muwatta persoalan: Adakah harus bagi wanita makan bersama hamba atau lelaki bukan muhramnya? Berkata Malik: Tidak ada halangan pada perbuatan tersebut, jika dalam ruang uruf bahawa wanita makan bersama lelaki tersebut. Kadang-kadang wanita makan bersama suami dan mereka yang sering makan bersama suaminya. Antara contoh yang berlaku pada zaman ini ialah percampuran sewaktu menziarahi sanak saudara atau rakan taulan.Dalam suasana yang seperti ini akan berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan dalam satu bilik, makan pada satu meja dan sebaginya. Ini semua diharuskan selama terpelihara adab-adab Islamiah.
Adab-adab dalam bergaulan antara lelaki dan wanita
Walaupun pergaulan dibenarkan oleh syariat dalam suasana terpaksa dan keperluan, namun Islam telah meletakkan adab-adab dan disiplin dalam pergaulan lelaki dan wanita. Perkara-perkara inilah yang akan mengekang sikap-sikap serong dalam pergaulan antara wanita ajnabi dan lelaki. Kita perlu mengukur adakah pergaulan kita sekarang ini, sama ada di tempat kerja, dalam kenderaan awam, ketika membeli belah, bersiar-siar, berpolitik, amal-amal sosial, aktiviti-aktiviti luar dan lain-lain bertepatan dengan ajaran dan prinsip agama kita Islam. Sikap yang tidak mengikut lunas-lunas Islam lambat laun akan mengundang akan kecelakaan.
Adab yang perlu dijaga oleh lelaki dan perempuan.
  1. Ucapan yang makruf dan sopan. Firman Allah: Dan ucaplah kata-kata yang makruf. Maksudnya, mereka ditegah sama sekali mengucapkan kata-kata yang janggal pada pandangan susila atau berbentuk sendaan dan sia-sia.
  2. Menundukkan pandangan. Dalam surah an Nur menyuruh lelaki dan wanita menundukkan pandangan masing-rnasing khususnya dalarn suasana takutkan fitnah.
  3. Mengelakkan daripada berhimpit dan bersesak-sesak. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ummu Salamah bahawa Rasulullah (s.a.w.) setelah memberi salam beliau tidak terus bangun. Ini untuk memberi peluang kepada wanita keluar dahulu. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah (s.a.w. ) bersabda:Janganlah sekali-kali seseorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita kecuali jika ia mahramnya.
  4. Menghindari tempat shubhat. Sabda Rasulullah SAW:Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu…. (Riwayat Bukhari). Adab khas untuk wanita.
  5. Iltizam dengan pakaian Islam. Firman Allah: Wahai Nabi katakanlah kepada isteri dan anak-anak perempuan kamu supaya melabuhkan jilbab mereka. Dan firmannya lagi: Janganlah kamu bertabarruj (bersolek) sebagaimana kaum jahiliah bertabrruj.
  6. Serius dalam ucapan. Tidak `mengada-ngada` atau bermanja-manja dalam percakapan. Firman Allah: Dan janganlah kamu merendahkan (melunak dan memanja-manjakan) percakapan, yang menyebabkan mereka yang sakit hatinya terdetik untuk menggodamu.
  7. Menjaga pergerakan. Tidak harus mereka memperlihatkan liuk lituk dan lenggan lenggok yang menggoda. Firman Allah: Janganlah mereka menghentak kaki untuk menarik perhatian kepada perhiasan yang mereka sembunyikan. Daripada pembentangan di atas ternyata bahawa rnenjadi pengacara majlis, peragawati, penyanyi dan penari adalah haram kerana tidak menepati syarat-syarat yang telah di tetapkan oteh ulama lslam.
 

Jadi, fahamilah. Dia sedemikian ada sebabnya. Tegakah kalian menghukumnya sedemikian atas sebab yang tidak munasabah. Layakkah kita hambaNYA 'mengambil alih' tugasNYA untuk menghukum dia yang bertaraf sama dengan kita.

Kita semua bersaudara. Ikhwah dan akhawat. Namun, sudah menjadi ketetapan yang sedia tersirat di dalam kalamullah, ada batas-batas yang perlu dijaga. Hikmahnya sudah sedia terbentang. Tiada lagi hijab yang menghadang. Tinggal akal untuk terus berfikir, tinggal hati untuk terus mentafsir segala aturanNYA dan tinggal jasad untuk terus mengamalkan.







Ummu Fathi
0030 am
10 ZulQaedah 1431H

This entry was posted at Monday, October 18, 2010 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 nasihat dari sahabat

Post a Comment

Semangat Palestina yang takkan pernah padam!

Followers

ღ halawatul iman ღ